IPOH – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak berjaya mematahkan cubaan menyeludup pelbagai barangan larangan termasuk tongkeng ayam sejuk beku, rokok, beras dan minuman keras dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM797,832.84 dalam empat operasi berasingan sehingga 15 Ogos lalu.
Pengarah Kastam Perak, Mohd Nadzri Ariffin berkata, antara rampasan utama melibatkan pemeriksaan sebuah kontena di Pelabuhan Klang, Selangor pada 12 Ogos lalu yang menemukan 14,004 paket tongkeng ayam sejuk beku seberat 29 tan bernilai RM275,500.
“Pemeriksaan mendapati tiada permit import sah daripada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).
“Malah, syarikat pembekal tidak tersenarai sebagai syarikat sah oleh MAQIS, sementara status halal produk ini juga diragui,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Kompleks Penguatkuasaan dan Pematuhan Kastam Perak di Taman Meru 2B, di sini pada Selasa.

Menurutnya, rampasan tersebut adalah sebahagian daripada 26 kes ‘Operasi Mecan Legit II’ dengan nilai keseluruhan duti cukai dianggarkan mencecah RM2.24 juta.
Dalam serbuan berasingan pada 14 Ogos, pihaknya turut merampas 6.6 tan beras dari Bangladesh bernilai RM19,280 yang dipercayai diimport tanpa permit sah BERNAS melalui sebuah gudang di Shah Alam.
“Nilai cukai barangan itu dianggarkan sebanyak RM10,411.20.
“Kes ini melibatkan modus operandi penyeludupan barang larangan Kastam melalui pintu sempadan negara,” jelas Mohd Nadzri sambil menambah kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967, yang memperuntukkan hukuman tegas jika sabit kesalahan.
Sementara itu, beliau memaklumkan rampasan rokok putih dan kretek pelbagai jenama bernilai termasuk duti RM162,240.10 hasil serbuan sebuah rumah kosong di Kampung Keramat, Bagan Serai pada 6 Ogos lalu.
“Suspek menyimpan rokok di rumah tersebut sebelum diedarkan ke pasaran tempatan,” katanya.
Dalam operasi berasingan di Setiawan pada 13 Ogos, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun yang memandu lori ‘bonded’ membawa minuman keras pelbagai jenama bernilai termasuk cukai RM316,626.
“Barang sitaan ini merupakan barangan larangan import di bawah Perintah Duti Kastam Larangan Mengenai Import 2023.
“Pemandu yang juga pemilik lori terbabit ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan boleh didakwa di bawah peruntukan sama, di mana jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah peruntukan Seksyen 135 (1)(v)(aa),” jelas beliau.




