
KANGAR – Harga jualan runcit santan di negeri ini didapati masih terkawal dan tidak melepasi harga siling ditetapkan iaitu RM17.50 bagi setiap kilogram (kg).
Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri, Rohaida Hassan berkata, hasil pemantauan mendapati harga tertinggi santan ketika ini masih berada di bawah paras siling berkenaan.
“Pada awal Ramadan, berlaku sedikit kekurangan bekalan bahan mentah iaitu kelapa tua, namun ia telah pulih dengan bantuan bekalan dari Sabah dan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas sesi Walkabout Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2025 di Pasar Sena, di sini hari ini.
Menurutnya, bekalan santan kini berada pada paras stabil dan pihaknya turut memantau tindakan tidak bertanggungjawab seperti mencampurkan air ke dalam santan.
Jelas beliau, santan merupakan antara empat barangan baharu yang disenaraikan di bawah SHMMP tahun ini, selain bawang merah kecil India, bawang merah kecil India (Ros) dan lobak merah.
Pelaksanaan SHMMP bermula dari 24 Mac hingga 7 April 2025, melibatkan sebanyak 26 jenis barangan kawalan berbanding 22 jenis barangan pada tahun lalu.
“KPDN menjalankan pemeriksaan berkala di lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah bagi memastikan pematuhan oleh peniaga,” ujarnya.
Tambahnya, tindakan tegas boleh dikenakan terhadap peniaga yang menjual barangan melebihi harga siling atau gagal meletakkan label merah jambu seperti yang ditetapkan.
Orang ramai turut digesa menyalurkan maklumat berhubung sebarang salah laku peniaga melalui portal e-aduan KPDN, talian hotline, e-mel atau aplikasi EZ ADU.







