
KOTA KINABALU – Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Datuk Ismail Yusop mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor di Menara Kinabalu pada Rabu.
Menurut Ismail, kunjungan bertujuan untuk memaklumkan peranan JKOM di Sabah serta memberikan taklimat mengenai program-program yang dirangka bagi memperkasa komuniti dan masyarakat.
“JKOM tidak bergerak secara bersendirian. Setiap inisiatif yang dijalankan melibatkan kerjasama erat dengan agensi-agensi di peringkat persekutuan dan negeri.
“Kami berharap sinergi antara agensi ini akan membolehkan program dilaksanakan dengan lebih berkesan, khususnya dalam mendekati komuniti di Sabah serta menjayakan agenda Membangun Malaysia MADANI,” katanya selepas pertemuan dengan Ketua Menteri di sini, pada Rabu.

Terdahulu, Ismail turut mengadakan kunjungan hormat kepada Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Seri Rosli Isa bagi membincangkan program yang bakal dilaksanakan JKOM dengan kerjasama Pejabat Ketua Setiausaha Negara (KSN).
“Alhamdulillah, kami menerima jaminan daripada Setiausaha Persekutuan untuk membantu melancarkan program Jelajah Taat Setia bersama Ketua Setiausaha Negara,” katanya.
Ismail turut menegaskan komitmen JKOM dalam menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta Kerajaan MADANI.
“JKOM mengambil pendekatan untuk memberikan dokongan penuh kepada Perdana Menteri dan Kerajaan MADANI.
“Sebagai sebuah agensi yang bertanggungjawab dalam mendekati serta menyantuni masyarakat, kami memastikan semua inisiatif kerajaan khususnya berkaitan kerangka Malaysia MADANI, difahami dan dihayati rakyat.
“Membangun Malaysia MADANI adalah satu proses berterusan dalam usaha membina negara bangsa yang lebih maju dan sejahtera,” katanya.





