
PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengenal pasti 38 stesen minyak di seluruh negara yang mencatatkan rekod tertinggi penjualan minyak diesel dan RON95 secara luar biasa.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sebahagian besar lokasi stesen minyak yang terlibat terletak di daerah sempadan negara.
“Daripada jumlah itu, tujuh stesen minyak di Sabah dan tujuh lagi stesen di Sarawak.
“Pendekatan tambahan akan dilaksanakan untuk memantau dan membuat pemeriksaan ke atas stesen-stesen minyak dengan jumlah jualan bahan api yang amat tinggi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Armizan memaklumkan kementeriannya menahan 531 individu, merampas barang kawalan dan bersubsidi dengan jumlah keseluruhan bernilai RM81.4 juta menerusi Ops Tiris 3.0 bermula 1 Januari hingga 19 September lalu.
Menurutnya, operasi itu membabitkan 31,762 pemeriksaan di seluruh negara dan merekodkan 2,121 kes.