
KOTA KINABALU – Koperasi Pembangunan Desa (KPD) di bawah Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) Sabah menunjukkan prestasi yang memberansangkan apabila melebihi sasaran jualan kepada RM99.9 juta setakat November tahun ini melalui hasil-hasil pertanian.
Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar yang berpuas hati dengan pencapaian sasaran jualan KPD 2025 itu menyifatkan bahawa pertanian mampu membawa kepada keuntungan.
“Saya telah diberi taklimat berkenaan perjalanan dan juga operasi yang dilaksanakan oleh KPD sepanjang tahun 2025, saya amat berpuas hati dengan pencapaian mereka target jualan untuk tahun ini adalah RM99.8 juta jualan keseluruhan daripada hasil-hasil pertanian KPD.
“Setakat November, mereka telah mencapai RM99.9 juta, jadi satu pencapaian yang cukup baik.
“Ini juga memberikan satu signal kepada masyarakat di luar sana bahawa bidang pertanian ini adalah satu bidang yang boleh memberikan keuntungan perniagaan jika diuruskan dengan cara yang sistematik dan diuruskan dengan cara yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Pasar Harian serta Sunset Deck KPD Avenue, di sini, pada Selasa.

Dalam pada itu, usaha memperkasa KPD Avenue turut dilaksanakan menerusi penggunaan media sosial secara langsung bagi mempromosikan kawasan itu sekali gus membantu menaikkan nama agensi terlibat serta menarik lebih ramai peniaga dan pembeli.
“Saya sendiri akan sentiasa turun padang untuk melihat keperluan sebenar dan hari ini saya turut menyunting sebuah video promosi bagi menggalakkan pengusaha serta pekerja membeli secara borong di sini,” jelasnya.
Tambah Jamawi, pendekatan sama sebelum ini membuahkan hasil apabila lawatan ke Sabah Fish Marketing Sdn Bhd (SAFMA) menerima maklum balas positif daripada pelanggan dan pemborong yang mencadangkan beberapa penambahbaikan.
“Hasil daripada maklum balas itu, saya terus mengarahkan pihak pengurusan SAFMA melaksanakan penambahbaikan dan kita dapat lihat jualan meningkat dengan ketara,” katanya.
Katanya lagi, peningkatan tersebut turut menarik minat golongan muda untuk menjadi pemborong, sekali gus membuka peluang menjual hasil laut ke daerah lain seperti Kota Belud, Ranau, Keningau dan Tenom.
“Jadi ianya adalah satu rantaian perniagaan yang membolehkan semua keseluruhan masyarakat mendapat impak dari itu,” katanya.
Turut hadir, Pembantu Menteri MAFFI I, Datuk Ruslan Muharam dan Setiausaha Tetap MAFFI, Datuk Leonard Stephen Poyong.





