KUANTAN – Rangkaian hotel milik Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (Kosma) menawarkan diskaun khas kepada penduduk terjejas banjir di Pahang.
Tawaran khas itu sebagai tanda prihatin dan untuk meringankan bebanan ditanggung penduduk terbabit.
Menerusi satu kenyataan, pihak pengurusan hotel berkenaan memaklumkan tempahan bilik boleh dibuat dengan menghubungi talian disediakan atau menempah melalui laman sosial Facebook rasmi hotel itu.
“Kami memahami kesukaran dihadapi mangsa-mangsa banjir dan sebagai tanda prihatin, pihak Kosma Business Hotel menawarkan harga istimewa untuk penginapan bagi mereka yang terkesan akibat bencana banjir.
“Sesuai dengan lokasi selesa dan selamat di tengah bandar raya Kuantan, adalah menjadi harapan kami agar tawaran ini dapat dimanfaatkan sebaiknya,” kata kenyataan berkenaan.
Jelas kenyataan itu lagi, potongan harga sehingga 10 peratus disediakan kepada penduduk terjejas banjir yang ingin menginap di hotel terbabit.
Kosma Business Hotel yang terletak di Jalan Tun Ismail, dekat sini, adalah sangat strategik dan bersebelahan dengan Masjid Tepian Putra dan pasar raya besar untuk memudahkan mereka mendapatkan barangan keperluan.






