ALOR SETAR – Selasa lalu Mahkamah Tinggi Shah Alam telah membebaskan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor terhadap satu pertuduhan menghasut yang dilakukannya pada Julai tahun lalu.
Berita kemenangan itu menyebabkan penyokong Pas terutamanya di Kedah menyambut dalam kegembiraan apabila kepimpinan yang mereka puja sebagai ‘The Greater’ itu dibebaskan.
Penyokong Pas bimbang sekiranya Sanusi kalah dalam perbicaraan itu sudah pasti jawatannya sebagai Menteri Besar dan Ahli Dewan Undangan Negeri turut hilang.
Bagaimanapun sebenarnya penyokong Pas Kedah mereka berada dalam gembira bercampur duka apabila kes Sanusi sekali lagi akan disebut pada Februari 2025 kerana menghina Yang di-Pertuan Agong tahun lalu.
Inilah musibah pemilihan seorang Menteri Besar yang tidak mempunyai semangat Rukun Negara iaitu Kesetiaan Kepada Raja dan Negara serta Kesopanan dan Kesusilaan.
Maka sekali lagi Sanusi akan ‘panjat’ tangga mahkamah untuk perbicaraannya kerana kes menghasut yang dilakukannya semasa berada di pentas Pas dalam ceramahnya.
Adalah tidak keterlaluan bolah dikatakan Sanusi merupakan Menteri Besar yang paling rajin menaiki tangga mahkamah untuk perbicaraan.
Inikah Menteri Besar yang diperlukan oleh rakyat Kedah pada hari ini?
Menurut penganalisis politik Kedah, Datuk Syed Azuan Syed Ahmad Al Idrus berkata, adalah sedar atau tidak rakyat Kedah sangat kerugian kerana mempunyai Menteri Besarnya asyik sibuk turun naik mahkamah dengan pelbagai kes.
Katanya, sebagai Menteri Besar seseorang itu perlu mempunyai latar belakang yang baik serta beradab dan tidak memaki hamun dengan sewenangnya.
“Sebenarnya sebagai antara pemimpin tertinggi di sesebuah negeri , pemimpin itu perlu menunjukkan peribadi yang baik supaya rakyat di negeri ini menjadikannya sebagai ikon atau teladan.
“Ini membolehkan rakyat akan menghormati mereka tidak kira sama ada penyokong atau parti lawan. Ini terbukti kepimpinan lalu seperti arwah Datuk Seri Azizan Abdul Razak (Pas) dan arwah Datuk Seri Syed Abdul Razak Syed Zain Barakbah (BN).
“Saya difahamkan walaupun mereka merupakan bekas Menteri Besar Kedah yang berbeza fahaman politik tetapi mereka tetap dihormati oleh rakyat Kedah. Inilah contoh keperibadian pemimpin yang perlu dicontohi jika berbanding dengan Sanusi hari ini,” katanya yang lebih dikenali dengan nama DSA.
Syed Azuan berkata, rakyat di Kedah kini kecewa kerana sekarang Sanusi banyak terbabit dengan beberapa kes mahkamah.
Ini secara tidak langsung memalukan rakyat Kedah yang mahukan Menteri Besar lebih banyak menumpukan pentadbirannya bagi membawa Kedah lebih maju hari ini.
“Apabila Menteri Besar asyik turun naik mahkamah ini juga akan tercalar imej Kedah apabila pelabur yang berminat turut memikirkan beberapa kali untuk membuat pelaburan. Mereka bimbang kestabilan politik di Kedah akan tergugat.
“Apa yang pasti hari ini rakyatlah yang menjadi mangsa apabila pelabur mula tidak berminat untuk melabur. Oleh itu saya merayu kepada rakyat Kedah adalah perlu memilih pemimpin yang mempunyai peribadi serta akhlak yang baik dan disenangi oleh rakan dan lawan demi membawa Kedah lebih cemerlang,” ujarnya.




