KOTA KINABALU – Konsep Malaysia MADANI mampu memperkukuh keberkesanan pendidikan digital negara apabila diterapkan secara menyeluruh dalam pelbagai aspek
termasuk pendidikan, kesihatan, pentadbiran dan perniagaan.
Timbalan Pengarah Pengurusan Strategik, Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Nur Izura Udzir berkata, konsep MADANI yang menekankan nilai kemampanan dan kesejahteraan amat relevan dalam era digital ini terutama dalam membentuk pembangunan modal insan dan memastikan pendidikan digital yang seimbang dan inklusif.
“Kelestarian dalam pendidikan digital bukan hanya melibatkan infrastruktur dan kemudahan fizikal, tetapi turut merangkumi pembangunan insan untuk generasi akan datang.
“Kita mahu lahirkan generasi yang bukan sahaja pandai teknologi, tetapi juga mempunyai nilai, etika dan tanggungjawab sosial,” katanya kepada wartawan The Malaysia Press pada Seminar Kepimpinan MADANI: Cakna Pendidikan Digital di Dewan Resital Universiti Malaysia Sabah (UMS), pada Khamis.
Tegas beliau, latihan kompetensi kepada pendidik juga penting agar mereka mampu mengurus perubahan digital secara strategik serta mengintegrasikan teknologi secara efektif dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
“Jika pendidikan digital tidak diurus secara terancang, pelbagai risiko boleh timbul termasuk keciciran pelajar, pencerobohan data, penipuan siber dan kehilangan nilai adab serta etika dalam kalangan pelajar.
“Kemahiran-kemahiran insaniah juga amat penting seperti kemahiran komunikasi, pemikiran kritikal, penyelesaikan masalah dan kepimpinan.
“Seterusnya, tanggungjawab sosial, etika dan nilai-nilai murni lain yang penting juga memerlukan pendekatan kreatif dalam pendidikan digital agar dapat disampaikan dengan berkesan kepada pelajar,” ujarnya.






