PUTRAJAYA – Kebanyakan negeri di Malaysia sudah memulakan inisiatif bandar pintar menerusi pelaksanaan pusat kawalan yang memantau aspek trafik, keselamatan, kebersihan dan lain-lain.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, inisiatif itu masih beroperasi dalam keadaan silo dan bergerak sendiri, tanpa integrasi dengan negeri lain atau peringkat Pusat.
“Ia menjadi cabaran utama untuk mencapai visi negara pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI Nation).
“Kalau kita mahu jayakan visi AI Nation, kita perlu ada kerangka pusat dan data yang dikumpul setiap negeri mesti boleh dikongsi bersama kerana kekuatan sebenar adalah apabila maklumat itu dapat diintegrasikan,” katanya, lapor Sinar Harian.
Gobind menjelaskan, kerajaan sudah memberi jaminan untuk membina ekosistem data dan teknologi di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
Ini termasuk penubuhan repositori data serta pengukuhan perkhidmatan digital kerajaan.
“Matlamat kita adalah menggabungkan penyelesaian negeri dan pusat untuk menjadi model yang boleh dikembangkan di seluruh negara dalam usaha melahirkan lebih banyak inovasi keselamatan pintar,” ujarnya.







