Kompleks Sukan Mini Selangau RM11.5 juta siap November 2027

Oleh: Lina B. & Nana Mohamad

SELANGAU – Kompleks Sukan Mini Selangau bernilai RM11.5 juta yang dibangunkan oleh Kerajaan Negeri Sarawak dijangka siap sepenuhnya pada November 2027.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, projek berkenaan merupakan inisiatif strategik kerajaan negeri bagi menyediakan kemudahan sukan moden dan berstandard kepada masyarakat luar bandar.

Menurut beliau, pelaksanaan projek itu sebelum ini tertangguh susulan pandemik COVID-19, selain berdepan isu tapak, reka bentuk serta masalah kewangan kontraktor terdahulu.

“Bagaimanapun, penyelarasan semula telah dilaksanakan dan kontraktor baharu dikenal pasti bagi memastikan projek ini dapat dimulakan segera. Tempoh pelaksanaan dijangka mengambil masa dua tahun dan disasarkan siap pada November 2027,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Kompleks Sukan Mini Selangau, di sini, hari ini.

Abdul Karim berkata, kompleks berkenaan bakal dilengkapi trek larian, padang bola sepak mengikut spesifikasi pertandingan serta beberapa fasiliti sokongan lain.

“Ada juga cadangan penambahbaikan yang akan dilaksanakan dari semasa ke semasa mengikut keperluan komuniti setempat,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan kepentingan kadar sewaan fasiliti yang berpatutan supaya tidak membebankan penduduk luar bandar, khususnya golongan belia.

“Kita tidak mahu kemudahan yang dibina ini sukar diakses kerana kos sewaan yang tinggi. Hasrat kita adalah memastikan anak-anak kampung dapat menggunakan fasiliti ini untuk aktiviti sukan tanpa halangan,” jelasnya.

Menurut beliau, kompleks itu kelak akan diselia oleh Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) yang bertanggungjawab terhadap pengurusan fasiliti sukan negeri.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Karim berkata, kerja-kerja naik taraf pelbagai fasiliti sukan di Sarawak sedang giat dijalankan sebagai persiapan menghadapi penganjuran Sukan SEA 2027.

“Antara fasiliti terlibat termasuk stadium utama negeri, lapangan sasar menembak, gelanggang skuasy, tenis, renang serta beberapa venue lain yang akan diperkukuh bagi memenuhi piawaian pertandingan,” katanya.

Beliau yakin semua persiapan akan berada pada landasan tepat sekurang-kurangnya tiga hingga empat bulan sebelum September 2027 bagi memastikan temasya berkenaan dapat dianjurkan dengan lancar.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Christopher Gira Sambang dan Ahli Dewan Negara, Senator Rita Sarimah Patrick Insol.

Foto: JKR Sarawak

  • Related Posts

    PRU16: Samasuddin dicadang calon UMNO bagi kerusi Kalabakan

    TAWAU – Ketua UMNO Bahagian Kalabakan, Samasuddin Yusop dicadang sebagai calon bagi kerusi Parlimen Kalabakan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang. Timbalan Ketua UMNO Kalabakan, Aslan Fadli Samsul…

    Lebih lanjut

    teruskan membaca
    Titian besi RM150,000 beri kelegaan buat penduduk Rumah Kulih

    KANOWIT – Ratusan penduduk di Rumah Kulih kini mampu menghela nafas lega apabila kesukaran pergerakan harian mereka diatasi menerusi pembinaan sebuah titian besi bernilai RM150,000 yang telah siap sepenuhnya. Ahli Dewan…

    Lebih lanjut

    teruskan membaca

    Perlu dibaca

    PRU16: Samasuddin dicadang calon UMNO bagi kerusi Kalabakan

    PRU16: Samasuddin dicadang calon UMNO bagi kerusi Kalabakan

    Titian besi RM150,000 beri kelegaan buat penduduk Rumah Kulih

    Titian besi RM150,000 beri kelegaan buat penduduk Rumah Kulih

    Akta Sewa Beli dipinda, kaedah faedah lama dimansuhkan mulai 1 Jun

    Akta Sewa Beli dipinda, kaedah faedah lama dimansuhkan mulai 1 Jun

    Malaysia bangkit, Terengganu masih terperangkap

    Malaysia bangkit, Terengganu masih terperangkap

    Cuti raya tambahan disambut gembira: Rakyat mahu pulang kampung, rehat dan eratkan silaturahim

    Cuti raya tambahan disambut gembira: Rakyat mahu pulang kampung, rehat dan eratkan silaturahim

    Sabah alu-alukan inisiatif Kerajaan Persekutuan bantu rakyat

    Sabah alu-alukan inisiatif Kerajaan Persekutuan bantu rakyat