DATUK Seri Anwar Ibrahim berazam meningkatkan perdagangan dan pelaburan Asean – yang beliau percaya tidak mencukupi ketika ini – sebagai persiapan mengambil alih jawatan Pengerusi Asean tahun depan.
Perdana Menteri berkata, beliau akan menumpukan usahanya memperkasakan Grid Tenaga Asean dan mempergiatkan pendigitalan lebih menyeluruh dalam kalangan negara serantau.
Beliau juga akan menumpukan usahanya sebagai pengerusi perkumpulan serantau untuk mengukuhkan hubungan dengan rakan tradisional Asean yang terdiri dari negara maju iaitu China, Jepun dan Korea Selatan.
“Inisiatif itu menjadi tumpuan utama untuk menjadikan Asia Tenggara rantau ekonomi lebih berdaya maju.
“Pendekatan sedemikian penting berdasarkan Asean adalah rantau ekonomi paling aman dan dinamik di dunia dengan potensi ekonominya perlu direalisasikan sepenuhnya,” katanya ketika ucapan khas di Seoul National University, semalam.
Oleh itu, beliau berkata, mengambil alih jawatan Pengerusi Asean pada tahun depan adalah tepat pada masanya berikutan negara berada dalam kedudukan yang baik untuk memperkukuh perdagangan dan pelaburan serantau.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata, kerjasama dan hubungan kerja antara 10 pemimpin Asean juga amat baik, sesuatu yang memberikan kelebihan untuk membuat keputusan secara bersama dan meningkatkan hubungan perdagangan kepada tahap lebih tinggi.
Dalam bekerjasama dengan China, Jepun dan Korea Selatan, beliau berkata, Korea Selatan adalah rakan tradisional yang penting dan Seoul juga mencapai kejayaan besar.
Anwar menekankan bahawa dengan lebih banyak penglibatan dengan ketiga-tiga negara ini berdasarkan persahabatan dan kepercayaan, Asean akan lebih mampu untuk menangani isu yang lebih rumit.
Menegaskan bahawa Malaysia bertuah kerana menjadi pilihan kepada syarikat antarabangsa utama seperti Oracle, AWS, Google, Microsoft, Nvidia dan Infineon, negara telah menjadi hab kepada aktiviti perniagaan mereka.
Ini membolehkan Malaysia menjadi pusat serantau untuk data dan kecerdasan buatan (AI).
Selain itu, ini turut menjadikan Malaysia sebagai hab utama untuk sektor semikonduktor global.


