KUANTAN – Kompleks Belia dan Sukan Negeri Pahang (Kombes Pahang) bakal dibuka kepada orang awam pada September ini.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, kerja naik taraf dan pembinaan baharu kompleks dikendalikan kontraktor dilantik sudah siap 72 peratus.
Katanya, projek yang dibina di tengah bandar raya Kuantan itu menelan kos RM24.7 juta membabitkan kawasan seluas 4.5 hektar.
“Saya ucap terima kasih atas keprihatinan Kerajaan Pahang untuk menyediakan tapak di tengah bandar raya Kuantan ini.
“Jadi sudah pastilah apabila siap, ia akan memberi manfaat besar kepada rakyat Pahang khususnya orang muda,” katanya ketika melakukan lawatan kerja di Kombes Pahang, hari ini.
Tambahnya, pembinaan kompleks berkenaan dapat melahirkan lebih ramai atlet sukan berbakat untuk negeri ini.
“Dan pada masa sama menjadi pusat kegiatan serta aktiviti belia untuk negeri Pahang ini.
“Ia akan menjadi mercu tanda baharu kepada negeri ini apabila siap nanti,” katanya.







