JOHOR BAHRU – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilaporkan bersetuju untuk memenuhi segala keperluan utama dengan kadar segera bagi mengatasi isu kebajikan dan krisis dihadapi sektor kesihatan di Johor.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, isu utama membabitkan kekurangan petugas serta penambahbaikan kemudahan di beberapa fasiliti kesihatan di negeri ini telah dimaklumkan kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad semalam
“Pertemuan ini memberi fokus kepada usaha memperkukuh pengoperasian tiga hospital utama negeri iaitu Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Kulai.
“Bagi penyelesaian jangka pendek, semua pihak bersetuju untuk mengisi kekosongan jawatan kritikal, menaik taraf infrastruktur serta memperbaiki fasiliti di hospital-hospital sedia ada dengan kadar segera.
“Hasil perbincangan turut mencapai persetujuan agar Hospital Pasir Gudang (HPG) dan Klinik Kesihatan (KK) Cendana diperkukuh dan ditambahkan tenaga kerja serta peralatan sebelum ia dijangka mula beroperasi pada awal tahun hadapan,” katanya dalam hantaran di Facebook, malam tadi.

Ujar beliau, dalam memastikan segala perancangan berjalan lancar, sebuah Pasukan Petugas Khas (task force) akan ditubuhkan sebagai mekanisme penyelarasan dan pemantauan pelaksanaan pelan tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang.
“Kerajaan Negeri dan KKM sentiasa komited memperjuangkan hak rakyat untuk mendapatkan rawatan yang adil, cekap dan berkualiti serta menjaga kebajikan barisan hadapan yang menjadi tunjang sistem kesihatan kita.
“Saya menzahirkan penghargaan buat pihak KKM khususnya Datuk Dr Dzulkefly yang sudi menerima saya dan delegasi Johor bagi membincangkan langkah pengukuhan pengurusan, penambahbaikan infrastruktur dan fasiliti hospital-hospital utama di Negeri Johor.
“Semoga segala usaha ini diberkati dan membuahkan hasil demi kebaikan negeri dan seluruh rakyat Johor. Insya-Allah,” katanya.
Terdahulu, perbincangan berkenaan telah diadakan di kementerian berkenaan di Putrajaya.





