PUTRAJAYA – Prospek jangka panjang ekonomi negara adalah cerah berikutan pelaburan meningkat semula secara kukuh, demikian menurut Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.
Beliau berkata, peningkatan semula pelaburan secara kukuh itu boleh disifatkan sebagai ‘kitaran menaik pelaburan’ baharu.
Katanya, daripada sektor elektrik dan elektronik (E&E), projek infrastruktur kepada tenaga boleh diperbaharui, terdapat prospek yang jelas untuk pelaburan swasta dan awam dapat dikekalkan pada masa hadapan.
Jelasnya, projek berkualiti itu akan menyumbang ke arah produktiviti yang lebih tinggi, kerumitan ekonomi yang lebih besar dan, akhirnya, pekerjaan berpendapatan tinggi untuk rakyat Malaysia.
“Ekonomi Malaysia terus berkembang, dengan ekonomi berkembang sebanyak 5.9 peratus pada suku kedua 2024, disokong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan dan pemulihan dalam permintaan luar.
“Yang penting, prospek jangka panjang kita adalah sama cerah memandangkan pelaburan meningkat semula dengan kukuh dalam apa yang digambarkan sebagai ‘kitaran menaik pelaburan’ baharu,” katanya selepas pelancaran penjenamaan semula Institut Insurans Asia (AII), yang sebelumnya dikenali Institut Insurans Malaysia (MII) di Kuala Lumpur, hari ini.
Malaysia mencatatkan nilai pelaburan diluluskan berjumlah RM83.7 bilion merentasi pelbagai sektor bagi tempoh Januari hingga Mac 2024, mewakili peningkatan 13 peratus daripada RM74.1 bilion bagi tempoh yang sama tahun lalu.
Pelaburan yang diluluskan berjumlah hampir RM84 bilion untuk suku pertama 2024 itu mencerminkan kepercayaan pelabur terhadap Malaysia.
Jumlah pelaburan yang diluluskan untuk suku pertama 2024 merangkumi 1,257 projek, yang dijangka menjana 29,027 peluang pekerjaan baharu untuk rakyat Malaysia.
Pelaburan asing menyumbang 56.2 peratus, atau RM47 bilion daripada jumlah pelaburan, manakala baki pelaburan domestik menjadikan baki 43.8 peratus, bernilai RM36.7 bilion.
Mengulas lanjut, Abdul Rasheed berkata, bagi merealisasikan potensi ekonomi penuh, adalah penting untuk ekonomi negara kekal berdaya tahan terhadap kejutan dan gangguan.
Beliau berkata, adalah penting untuk terus meletakkan pengurusan risiko sebagai keutamaan dalam agenda negara.
“Di sinilah perlindungan insurans dan takaful boleh memainkan peranannya, yang akan menyumbang kepada kestabilan dan daya tahan lebih kukuh dalam ekonomi kita,” katanya.







