PUTRAJAYA – Gesaan tegas Malaysia agar kuasa dunia mengenakan tindakan dan hukuman keras secara kolektif terhadap Israel bukan sekadar mesej simbolik, namun cara negara menggunakan platform multilateralisme dalam membawa suara kemanusiaan ke peringkat global.
Pemerhati hubungan antarabangsa dan geopolitik Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berkata, tindakan itu mempamerkan usaha berterusan Malaysia untuk mempertahankan prinsip kemanusiaan sejagat, selain membuktikan peranan aktif negara dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin di peringkat antarabangsa.
Menurut beliau, pendekatan yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam di Doha, Qatar, pada Isnin selaras dengan dasar luar negara yang menekankan prinsip keadilan dan keamanan.
“Apa yang disuarakan oleh PMX di Doha menunjukkan usaha Malaysia untuk menegaskan pendirian yang konsisten, iaitu membela isu Palestin sambil menekankan kepentingan solidariti dunia Islam.
“Malaysia ingin menunjukkan bahawa walaupun kita negara kecil, kita tetap mampu memainkan peranan moral dengan mengingatkan komuniti antarabangsa bahawa konflik di Asia Barat ini memberi kesan luas terhadap kestabilan politik, ekonomi, dan juga keselamatan global,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Rabu.
Mengulas lanjut, Nur Ashikin berpandangan, peranan yang dimainkan Anwar juga dilihat mampu memperkukuh imej Malaysia sebagai negara Islam yang berpegang pada nilai kolektif.

Bagaimanapun, beliau menyifatkan pelaksanaan dasar bersama dalam kalangan negara Islam tidak mudah, disebabkan perbezaan kepentingan geopolitik.
“Dunia Islam ini terdiri daripada pelbagai negara dengan kepentingan geopolitik yang berbeza-beza, dan itu menjadikan usaha membentuk konsensus bersama agak sukar.
“Justeru, walaupun kenyataan PMX itu tegas dan jelas dari segi prinsip, persoalan utamanya ialah bagaimana ia boleh diterjemahkan kepada tindakan bersama yang konkrit,” katanya.
Sehubungan itu, Nur Ashikin berharap agar
Malaysia dapat terus memainkan peranan aktif, bukan sahaja sebagai suara kemanusiaan, tetapi juga sebagai penghubung yang mendorong kerjasama lebih erat dalam kalangan negara Islam.
“Jika usaha ini berterusan, Malaysia bukan sahaja dilihat konsisten dalam isu Palestin, tetapi juga relevan dalam membentuk agenda keselamatan dan kestabilan antarabangsa,” katanya.
Terdahulu Perdana Menteri ketika menyampaikan Kenyataan Negara pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam di Doha, Qatar pada Isnin, mendesak tindakan keras seperti menghentikan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan rejim Zionis itu dilaksanakan secara bersama.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menghadiri sidang kemuncak itu atas jemputan Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al-Thani, susulan serangan Israel terhadap Doha, baru-baru ini.
Sidang kemuncak itu turut dihadiri pemimpin negara-negara Islam termasuk Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan; Presiden Palestin, Mahmud Abbas dan Raja Jordan, Raja Abdullah II Al Hussein.








