
SEPANGGAR – Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts Mustapha Sakmud menekankan kepentingan kesedaran dalam kalangan ibu bapa mengenai kewujudan bantuan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) agar tiada lagi pelajar yang tercicir atau menghadapi kesulitan untuk mendaftar ke institusi pengajian tinggi.
Beliau berkata, masih terdapat kes pelajar yang tidak bersedia untuk pendaftaran kerana tidak mengetahui adanya bantuan yang boleh dimanfaatkan.
“Kita tidak mahu ada kes-kes seperti dahulu, contohnya seorang pelajar di Sandakan tahun lepas yang terpaksa membawa karung guni untuk mendaftar.
“Mungkin dia tidak tahu bahawa ada wang pendahuluan PTPTN yang disediakan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan WPP PTPTN Parlimen Sepanggar di Pusat Sinergi Parlimen Sepanggar, Suria Inanam, di sini, pada Ahad.

Pada program itu, seramai 179 pelajar dari Parlimen Sepanggar menerima WPP PTPTN sebanyak RM1,500 setiap seorang dengan jumlah keseluruhan RM268,500 bagi membantu proses pendaftaran ke universiti.
Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata, inisiatif ini sudah memasuki tahun kedua pelaksanaan di kawasannya dan diharap dapat mengurangkan beban kewangan keluarga, terutamanya menjelang minggu pendaftaran universiti.

Selain WPP, beliau turut menggesa ibu bapa supaya mula menabung untuk pendidikan anak-anak menerusi skim SSPN Prime dan SSPN Plus yang ditawarkan PTPTN.
“Kita juga sediakan PTPTN untuk mereka menabung dari awal. Itu yang kita kenali sebagai SSPN Plus dan SSPN Prime. Lebih kurang macam insurans pendidikan begitulah,” jelasnya.
Katanya lagi, kerajaan turut memperkenalkan beberapa inisiatif lain di bawah pentadbiran MADANI yang memberi manfaat kepada pelajar, khususnya golongan B40.
“Untuk universiti awam, kita telah keluarkan pekeliling supaya yuran pendaftaran boleh ditangguhkan sehingga mendapat pembiayaan, pinjaman atau biasiswa dari mana-mana pihak.
“Selain itu, program khas dikenali sebagai Program SULUNG juga diperkenalkan bagi membantu anak pertama dalam keluarga yang melanjutkan pengajian ke universiti dengan pengecualian yuran pengajian,” ujarnya.







