KOTA KINABALU – Seorang warga Sipitang pada Ahad tampil di Balai Polis sebagai usaha menuntut keadilan penuh berhubung kes kematian seorang pelajar Tingkatan 1 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Zara Qairina Mahathir.
Jeffridin Daudi, 53, yang membuat laporan polis kira-kira pukul 10.13 pagi itu mahu agar tindakan tegas diambil di bawah Seksyen 201 Kanun Keseksaan terhadap Guru Besar dan warden sekolah Agama berkenaan, Pegawai Penyiasat kes serta Doktor Perubatan yang mengendalikan kes itu pada awal kejadian.
“Apa yang paling menarik perhatian saya adalah ketika terdapat kenyataan akhbar menyebut Pengetua memujuk ibu Zara agar tidak membuat laporan polis dan pihak Hospital tidak membuat ‘post mortem’.
“Tiada satu laporan pun dibuat oleh mana-mana pihak terlibat sehingga menimbulkan banyak hujah serta ketidakpuasan hati netizen dipercayai ada unsur-unsur mahu menyembunyikan kes tersebut,” katanya ketika dihubungi wartawan The Malaysia Press, pada Ahad.
Justeru katanya, berkemungkinan berlaku kesalahan di bawah Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang menghalang siasatan dan menghapuskan bukti berkaitan kematian Zara.
Beliau berharap agar polis membuka siasatan di bawah peruntukan undang-undang demi keadilan pelajar tersebut.
Difahamkan, Jeffridin merupakan individu pertama di negara ini yang tampil membuat laporan polis.
Dalam perkembangan terbaharu, jenazah Zara Qairina kini dalam proses bedah siasat dan keputusan hasil bedah siasat dijangka turut diketahui dalam masa terdekat.
Jenazah Zara kemudiannya akan dikebumikan semula di Sipitang sebaik bedah siasat selesai.
Fitnah larangan takbir: MP Jasin, Harakah diarah bayar RM15,000 kepada menteri
AHLI Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail dan media Harakah mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur berhubung kenyataan fitnah terhadap beliau yang…
Lebih lanjut




