
PETALING JAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperluas pelaksanaan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) secara dalam talian dengan mengadakan kerjasama bersama pengendali platform TikTok Shop Malaysia.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohamad Ali berkata, melalui usaha ini, pihak Tik Tok Shop Malaysia akan mewujudkan halaman promosi khas (microsite) khusus untuk pengiklanan dan promosi produk-produk barangan Malaysia.
“Melihat kepada trend pilihan platform dalam talian oleh pengguna, maka KPDN akan memperluas pelaksanaan kempen (KBBM) secara dalam talian dengan mengadakan kerjasama bersama pengendali platform TikTok Shop Malaysia.
“Pada masa yang sama, program ini akan menyasarkan seramai 8,000 usahawan tempatan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang akan meliputi 300,000 Stock Keeping Unit (SKU),” katanya.

Menurut Armizan, pelbagai tawaran menarik bakal ditawarkan bagi mempromosikan KBBM seperti pemberian baucar diskaun ke atas beberapa barangan terpilih.
“KBBM melalui TikTok Shop akan menyediakan baucar diskaun ke atas barangan yang terpilih dan penghantaran percuma kepada pengguna turut diberikan.
“Selain itu, program latihan atau bengkel berkaitan keusahawanan akan diadakan kepada pengusaha-pengusaha yang mengambil bahagian dalam kempen bersama TikTok Shop ini.
Tambahnya, selain jalinan kerjasama antara platform TikTok Shop Malaysia, inisiatif KBBM turut dijalankan melalui platform dalam talian yang lain seperti Shoppe, Lazada dan PGMall.
“Melalui inisiatif KBBM juga, KPDN telah menjalinkan kerjasama dengan pengendali platform dalam talian yang lain bertujuan untuk memperluas pasaran dan menjadi salah satu strategi kepada galakan pembelian produk-produk barangan Malaysia secara dalam talian.
“Sepanjang tahun 2023, melalui tiga pengendali platform dalam talian ini, sebanyak RM347,739,505.00 hasil jualan melibatkan 694,496 SKU telah berjaya dijana,” ujarnya.






