
PEMBAYARAN bagi Fasa Ketiga Sumbangan Tunai Rahmah (STR), iaitu skim bantuan tunai kerajaan, akan bermula esok dengan sejumlah RM2 bilion diagihkan kepada kira-kira 8.6 juta rakyat Malaysia.
Menurut Kementerian Kewangan (MOF), jumlah penerima kali ini menunjukkan peningkatan sebanyak 300,000 orang berbanding Fasa Pertama yang dilaksanakan pada bulan Januari dan setiap penerima layak menerima bayaran sehingga RM650 bagi fasa ini.
MOF memaklumkan bahawa peningkatan jumlah penerima adalah hasil pelaksanaan dasar kerajaan yang membenarkan permohonan dan rayuan baharu dibuat sepanjang tahun.
Langkah ini bertujuan memastikan bantuan dapat disalurkan kepada semua individu yang benar-benar layak.
“Pembukaan permohonan dan rayuan sepanjang tahun menunjukkan bahawa Kerajaan MADANI tidak mengambil ringan amanah yang dipertanggungjawabkan demi meningkatkan kesejahteraan rakyat terbanyak.
“Usaha ini memastikan tiada individu yang tercicir daripada menikmati limpahan kemakmuran negara,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam satu kenyataan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pelaksanaan STR telah memberikan suntikan kewangan kepada penerima untuk mencapai kebebasan kewangan, sekali gus membantu kerajaan mencapai aspirasi di bawah kerangka Ekonomi MADANI.
Pemohon yang tidak tersenarai dalam pangkalan data STR disarankan untuk mengemukakan permohonan baharu bagi tujuan pengesahan, berdasarkan kriteria kelayakan yang ditetapkan.
Orang ramai boleh menyemak kelayakan masing-masing serta mendapatkan maklumat lanjut menerusi portal rasmi STR, termasuk seksyen Soalan Lazim (FAQ) yang disediakan.






