
TAWAU – Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM202.5 juta bagi pelaksanaan Program Pengedaran Barang Perlu, Community Drumming (CD) dan Gas Petroleum Cecair (LPG) bagi tempoh dua tahun sejak Mei tahun ini hingga April 2027.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, daripada jumlah itu, lebih RM8 juta disalurkan khusus untuk daerah Tawau.
Beliau berkata, program pengedaran barang perlu yang dilaksanakan sejak 2009 itu bagi memastikan tujuh jenis barangan keperluan asas bersubsidi sampai ke tangan pengguna.
Tujuh barangan itu adalah beras putih, gula putih bertapis kasar, tepung gandum, minyak masak, LPG, petrol RON95 dan diesel.
“Melalui peruntukan ini sebanyak 607 Point Of Sales (POS) di 228 kawasan pengedaran di seluruh Sabah menerima manfaat melibatkan hampir 492,566 penduduk termasuk lebih 29,000 penduduk di empat zon utama di bawah KPDN Tawau iaitu Sebatik, Balung, Kalabakan dan Apas.
“Kesemua zon ini dikenal pasti sebagai lokasi tumpuan dengan 40 POS aktif membabitkan penghantaran barangan keperluan setiap bulan iaitu beras putih 94,605 kilogram (kg), 23,888kg gula, 10,042kg tepung gandum dan LPG 5,800 tong.
“Selain itu minyak masak 16,966kg, 68,800 petrol RON95 dan diesel sebanyak 77,200 liter,” katanya kepada media selepas sesi turun padang ke POS di Pulau Sebatik, pada Ahad.

Sehubungan itu katanya, KPDN terus memastikan tiada komuniti terpinggir dalam menerima bekalan keperluan khususnya di pedalaman Sabah.
“Pelaksanaan program ini membuktikan keprihatinan Kerajaan MADANI dalam membantu rakyat khususnya di kawasan pedalaman yang berdepan cabaran logistik dan kos pengangkutan tinggi.
“Melalui penyediaan akses kepada barangan keperluan pada harga yang sama seperti di bandar serta menjamin kelangsungan bekalan, inisiatif ini menjadi bukti komitmen kerajaan untuk memastikan setiap komuniti tanpa mengira lokasi terus menikmati manfaat pembangunan dan kesejahteraan negara,” ujarnya.









