
KERAJAAN Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, terus melaksanakan tanggungjawab kenegaraan secara menyeluruh tanpa membezakan negeri berdasarkan fahaman politik, sekali gus mencerminkan kematangan dalam amalan demokrasi berparlimen, kata Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Datuk Ismail Yusop.
Beliau berkata, dalam sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan, pilihan raya yang diadakan setiap lima tahun merupakan proses mengembalikan mandat pembinaan negara bangsa kepada rakyat, dan keputusan yang dibuat melalui proses itu wajar dihormati oleh semua pihak.
“Selepas rakyat membuat keputusan, tanggungjawab kerajaan yang dibentuk adalah untuk mentadbir keseluruhan negara tanpa pengecualian. Inilah pendekatan yang diambil oleh Perdana Menteri Malaysia ke-10 selaku ketua eksekutif tertinggi negara,” katanya dalam siaran podcast Minda Tok Abah pada Jumaat.
Menurut beliau, Perdana Menteri bertanggungjawab ke atas kesemua 14 buah negeri, termasuk empat negeri yang sering dilabel sebagai SG4, meskipun wujud persepsi politik yang menganggap negeri-negeri berkenaan sebagai negeri pembangkang.
“Pelabelan sedemikian lahir daripada dinamika politik pasca pilihan raya. Namun dari sudut tanggungjawab kenegaraan, tidak timbul istilah negeri pemangkang atau negeri kerajaan di peringkat Persekutuan,” katanya.
Beliau menegaskan, perbezaan fahaman politik antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan merupakan suatu kelaziman dalam sistem demokrasi berparlimen, namun ia tidak seharusnya menjejaskan pelaksanaan urus tadbir dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Setelah keputusan dibuat melalui proses demokrasi, menjadi tanggungjawab semua pihak sama ada di peringkat negeri mahupun Persekutuan untuk memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara, tanpa mengira latar sokongan politik,” katanya.
Ismail berkata, pendekatan Kerajaan Persekutuan itu bukan sahaja mencerminkan kematangan demokrasi, malah menunjukkan kearifan dalam memisahkan antara politik kepartian dengan tanggungjawab urus tadbir negara.
“Politik tidak boleh dicampuradukkan dengan urus tadbir dan tanggungjawab kenegaraan. Keutamaan kerajaan ialah menjamin kebajikan rakyat secara menyeluruh,” katanya.
Tambah beliau, kefahaman terhadap peranan Kerajaan Persekutuan dalam konteks ini penting bagi memastikan keharmonian hubungan antara pusat dan negeri dapat dipelihara, khususnya dalam landskap politik negara yang semakin dinamik.






