
KUCHING – Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan berjumlah RM129 juta kepada Kerajaan Sarawak bagi melaksanakan pelbagai program dan projek strategik di bawah agenda keterjaminan makanan negara sepanjang tahun 2025.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, dana tersebut merangkumi 61 projek pembangunan utama termasuk pembangunan industri padi dan beras seperti Projek Pembangunan Padi di Tanjung Purun, Lundu, serta Pembangunan Kawasan Tanaman Padi di IADA Batang Lupar.
Selain itu, sebanyak RM36.7 juta turut diperuntukkan di bawah Program Mengoptimumkan Penggunaan Tanah yang melibatkan 12 projek di bawah Fasa 1 dan Fasa 2. Menurut beliau, pelaksanaan projek-projek ini membuktikan kesepakatan erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh keterjaminan makanan negara secara menyeluruh.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutup Persidangan Padi Kebangsaan di Raia Hotel, Kuching, yang bertemakan Gelombang Padi Ke Arah Keterjaminan Makanan Negara.
Persidangan itu menghimpunkan penggubal dasar, penyelidik, petani, usahawan, pemain industri dan pegawai pengembangan dari seluruh negara untuk berkongsi pengetahuan, hasil penyelidikan serta memperkukuh jaringan kerjasama.
Sebanyak 28 kertas kerja termasuk satu ucap tama, tiga sesi plenari, 24 pembentangan jemputan serta 90 poster telah dibentangkan, meliputi sembilan skop kajian utama berkaitan padi dan beras.
Arthur turut menegaskan, penganjuran persidangan ini membuktikan komitmen semua pihak dalam membincangkan isu utama, merangka pelan tindakan strategik dan memperjelas peranan setiap pihak dalam rantaian nilai industri pertanian.
“Forum ini mencerminkan keterbukaan kementerian dan agensi untuk menerima pelbagai pandangan sebagai asas kepada polisi yang inklusif dan berkesan. Harapan saya agar segala resolusi yang dicapai dapat dilaksanakan mengikut kapasiti masing-masing demi memajukan sektor pertanian negara,” katanya.
Dengan sokongan kewangan dan kerjasama strategik ini, sektor pertanian Sarawak diyakini mampu dipacu ke tahap lebih tinggi, seterusnya memperkukuh peranan negeri dalam menyumbang kepada keterjaminan makanan negara.







