
MIRI — Komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan untuk menambah baik infrastruktur lapangan terbang di Sarawak kini membuahkan hasil dengan siapnya beberapa penambahbaikan di Lapangan Terbang Miri, termasuk pemasangan tiga eskalator baharu yang lebih moden dan selamat.
Selepas bertahun-tahun mengalami kerosakan berulang, tiga eskalator lama di lapangan terbang tersebut telah digantikan sepenuhnya dan kini dibuka untuk kegunaan orang ramai bermula 17 Oktober 2025.
Eskalator baharu ini telah diperiksa serta diluluskan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) bagi memastikan tahap keselamatan tertinggi kepada pengguna.
Projek naik taraf ini dibiayai melalui Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) di bawah peruntukan MASB Miri CAPEX 2025.
Selain penggantian eskalator, peruntukan turut digunakan bagi kerja-kerja penggantian Jambatan Naik Pesawat (Passenger Boarding Bridge, PBB) serta naik taraf empat set tandas (Lelaki, Perempuan dan OKU) bagi memberikan pengalaman yang lebih selesa dan mesra kepada semua penumpang.
Setiausaha kepada Ahli Parlimen Miri merangkap Ketua Penerangan PKR Cabang Miri, Chaw Zhe Jian, merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pengangkutan, MAHB serta semua pasukan teknikal yang terlibat dalam menyiapkan projek berkenaan dengan cekap dan berkesan.
“Walaupun projek ini kelihatan kecil, namun ia membawa makna besar kepada rakyat Miri, khususnya warga emas, penumpang yang mempunyai cabaran mobiliti serta keluarga yang membawa anak kecil.
“Ini membuktikan bahawa Kerajaan Persekutuan mendengar suara rakyat Sarawak dan bertindak dengan langkah nyata untuk memperbaiki kehidupan seharian mereka,” katanya dalam kenyataan.
Eskalator baharu ini dilengkapi dengan ciri keselamatan tambahan, termasuk pencahayaan LED di sepanjang pemegang tangan serta penunjuk arah bagi meningkatkan keselamatan dan kemudahan pengguna.
Di bawah Belanjawan Malaysia 2026 yang diumumkan baru-baru ini, Kerajaan Persekutuan turut memperuntukkan RM2.3 bilion bagi menaik taraf beberapa lapangan terbang di seluruh negara termasuk Lapangan Terbang Miri.
Projek-projek tersebut dijangka siap menjelang tahun 2028, sekaligus memperkukuh jaringan udara dan meningkatkan keselesaan penumpang di Sarawak.
Chaw turut menyatakan harapan agar lebih banyak projek infrastruktur seperti ini dapat dilaksanakan di Miri termasuk dalam sektor jalan raya dan kemudahan awam lain agar pembangunan Sarawak dapat bergerak seiring dengan kemajuan negeri-negeri lain, selaras dengan semangat pertumbuhan saksama dan kemakmuran bersama.




