
KOTA KINABALU – Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe mahu Kerajaan Persekutuan mengutamakan projek penaiktarafan Jalan Lintas ke dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang berkata, gesaan itu susulan laporan kemalangan maut berulang yang tular di sepanjang Jalan Lintas sehingga mencetuskan kebimbangan meluas dalam kalangan orang ramai.
“Sebagai salah satu lebuh raya paling sibuk di bandar ini, pihak berkuasa tidak boleh terus menutup mata.
“Keadaan trafik semasa di Jalan Lintas adalah terlalu usang dan tidak lagi memenuhi keperluan awam, sekali gus menimbulkan risiko keselamatan yang serius,” katanya dalam kenyataan media pada Ahad.
Jelasnya, walaupun Jalan Lintas asalnya dibina mengikut piawaian lebuh raya namun perbandaran pesat di Kota Kinabalu, khususnya di kawasan seperti Luyang, Sembulan, Kolombong dan Lintas menyumbang kepada pertumbuhan mendadak zon perumahan dan komersial.
“Ini menyebabkan pertambahan keluar masuk simpang dan pusingan U yang tidak terkawal.
“Keadaan ini mengakibatkan kemalangan kerap berlaku, terutamanya di kawasan berdekatan Taman Khidmat dan Starbucks Iramanis, yang kini terkenal dalam talian sebagai zon ‘U-turn maut’, dengan video kemalangan yang mengerikan sering tular dan membimbangkan pengguna jalan raya,” kata Phoong.
Beliau menegaskan projek menaik taraf Jalan Lintas perlu disegerakan memandangkan sudah sedekad tidak dinaik taraf iaitu terakhir kali pada RMK11.
“Sejak itu, jumlah penduduk dan kenderaan di Jalan Lintas telah berganda, seiring dengan pembangunan pesat kawasan sekeliling. Oleh itu, naik taraf tambahan termasuk pembinaan jejambat U-turn baharu perlu dilaksanakan tanpa sebarang penangguhan,” kata beliau.
Tambahnya, selalu Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sabah kini aktif berunding dengan agensi berkaitan untuk mencadangkan naik taraf menyeluruh Jalan Lintas di bawah RMK13 serta menggesa Jabatan Kerja Raya Sabah (JKR) untuk memperjuangkannya dengan justifikasi yang kukuh.
“Ia termasuk penghapusan U-turn berbahaya, pembinaan jejambat U-turn, laluan ekspres dan persimpangan bertingkat, serta penyusunan semula susun atur keluar masuk supaya laluan ke kawasan perumahan dan komersial diasingkan demi mengurangkan konflik trafik.
“Ini juga termasuk cadangan untuk membina laluan ekspres dari jejambat Inanam terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu bagi mengelakkan penyatuan berterusan antara lorong laju dan perlahan satu keadaan yang sering menjadi punca kemalangan dan sudah lama ditangani di Kuala Lumpur dan Selangor,” ujarnya.




