KERAJAAN telah memperkenalkan Elaun Modal Automasi sebagai langkah strategik bagi menggalakkan penggunaan automasi dan penerapan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dalam kalangan syarikat yang beroperasi dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan, susulan kesan daripada tarif timbal balas perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS).
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, inisiatif ini bertujuan memastikan aliran pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam negara tidak terjejas, sekali gus meminimumkan impak ekonomi terhadap ibu negara dan negara secara keseluruhan.
Menurut beliau, insentif tersebut membolehkan syarikat menuntut potongan cukai sebanyak 200 peratus ke atas perbelanjaan bagi automasi dan teknologi IR4.0, sehingga had maksimum RM10 juta.
“Selain itu, insentif pelaburan lain termasuk cukai karbon bagi sektor ‘hard-to-abate’ iaitu besi dan keluli, Insentif Pelaburan Semula di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, Elaun Cukai Pelaburan iaitu elaun sebanyak 60 peratus atau 100 peratus daripada jumlah perbelanjaan modal yang layak yang dibuat oleh syarikat dalam tempoh lima tahun,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara, sebagai respons kepada pertanyaan Senator Robert Lau.
Tengku Zafrul turut memaklumkan bahawa kerajaan telah menambah baik proses pelaburan dengan memperkenalkan kemudahan seperti portal MySite Selection dan Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia (IMFC), bagi memudahkan akses maklumat dan penyelarasan projek pelaburan.
Katanya lagi, kementeriannya juga terus berusaha memperluas akses pasaran eksport barangan dan perkhidmatan, serta menarik lebih banyak pelaburan asing melalui pengukuhan hubungan perdagangan sedia ada dengan memanfaatkan 18 perjanjian perdagangan bebas (FTA).
Beliau turut memaklumkan bahawa rundingan bagi FTA baharu sedang giat dijalankan, termasuk bersama negara seperti Kanada (melalui ASEAN), Republik Korea, Kesatuan Eropah (EU) dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC), di samping meneroka potensi FTA baharu dengan negara seperti Bangladesh dan Sri Lanka.
“Selain itu, peningkatan program promosi pelaburan, misi galakan perdagangan dan pelaburan serta program padanan perniagaan.
Tengku Zafrul menegaskan bahawa kementerian akan terus komited dalam memperkukuh ekosistem pelaburan negara bagi meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama di rantau ini, seiring dengan usaha berterusan Kerajaan MADANI dalam menjamin kestabilan serta kemakmuran ekonomi negara.








