KATHMANDU – Perdana Menteri Nepal, Khadga Prasad Sharma Oli meletak jawatan pada Selasa selepas siri protes ganas melanda negara Asia Selatan itu.
Pengunduran Oli dilakukan setelah ‘amukan’ penunjuk perasaan menyasarkan bangunan awam dan rumah ahli politik susulan insiden kematian 19 mangsa dalam pertempuran dengan pihak berkuasa.
Kediaman peribadi Oli menjadi salah satu sasaran arson dan vandalisme sehingga menyebabkan tentera terpaksa menggunakan helikopter untuk memindahkan para menteri dari kawasan Bhaisepati.
Difahamkan, Oli memegang jawatan Perdana Menteri selama empat penggal bermula Oktober 2015.
Pada Julai 2024, pemimpin berusia 73 tahun itu dilantik semula untuk menggantikan Pushpa Kamal Dahal setelah keruntuhan kerajaan pimpinan beliau apabila Parti Komunis Marxis Leninist Bersatu (CPN-UML) yang dipimpin Oli membentuk gabungan baharu bersama Parti Kongres.
Sementara itu, operasi penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan dihentikan sementara atas faktor keselamatan.

Ketika ini, perintah berkurung telah dilaksanakan di kawasan sekitar Kathmandu dan daerah lain bagi mengekang demonstrasi ganas tersebut yang berpunca daripada larangan kerajaan terhadap penggunaan platform media sosial.
Demonstran kemudiannya menuntut perubahan kerajaan dan tindakan tegas terhadap korupsi.
Sementara itu, beberapa bangunan kerajaan termasuk Parlimen Nepal di Kathmandu dilaporkan terbakar selepas penunjuk perasaan bertindak agresif susulan peletakan jawatan Perdana Menteri, KP Sharma Oli.
Dalam kejadian pada Selasa, penunjuk perasaan yang marah dengan dakwaan rasuah dan salah guna kuasa membakar beberapa lokasi penting di ibu negara, termasuk kompleks bersejarah Singha Durbar – yang menempatkan pejabat utama kerajaan.
Rakaman udara dari dron menunjukkan asap tebal dan api marak di pelbagai kawasan, menandakan rusuhan besar-besaran yang melanda ibu kota negara itu.
Protes berlarutan selama beberapa minggu ini berpunca daripada ketidakpuasan hati rakyat terhadap isu rasuah dan ketelusan pentadbiran, sehingga memaksa KP Sharma Oli meletak jawatan.
Pihak berkuasa masih belum mengesahkan jumlah kerosakan atau sebarang kecederaan setakat ini.








