KUANTAN – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memberi jaminan semua mangsa banjir di Temerloh akan menerima bantuan segera.
Melalui satu hantaran di Facebook, beliau berkata, semua mangsa juga diharap dapat berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang disediakan.
“Saya merasa simpati dengan nasib 1,287 mangsa banjir di daerah Temerloh yang kini sedang berlindung di enam PPS.
“Dalam menghadapi ujian ini, Kerajaan Negeri sentiasa berusaha memberikan bantuan dalam bentuk yang terbaik,” katanya.
Wan Rosdy memaklumkan kerajaan negeri bersama pihak berkuasa tempatan serta pelbagai agensi penyelamat sedang bekerja keras bagi memastikan bantuan kecemasan, makanan, tempat tinggal dan keperluan asas yang lain disalurkan segera.
“Semoga semua mangsa banjir dapat bersabar menghadapi ujian ini dan marilah kita berdoa semoga Allah SWT sentiasa memberi perlindungan dan keselamatan kepada kita semua,” katanya.





