
PASUKAN Bomba dan Penyelamat berjaya menyelamatkan 21 kanak-kanak dan empat guru yang terperangkap dalam banjir di Tabika Kemas Kalang Gate, Ampang, pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.28 pagi.
Jelasnya, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Ampang digerakkan ke lokasi dan turut menyelamatkan penghuni di empat kediaman di lokasi sama.
“Ketika tiba, kita melihat banjir setinggi anggaran paras pinggang memasuki empat rumah dan satu Tabika Kemas.
“Pihak bomba mengarahkan penghuni rumah untuk pindah ke balai penghulu dan mengeluarkan 21 murid tersebut ke tempat selamat,” katanya.

Ahmad Mukhlis berkata, semua kanak-kanak sudah diserahkan kepada ibu bapa masing-masing dan kerja pemantauan diteruskan bagi memastikan tiada mangsa yang terperangkap.
Beberapa kawasan di Lembah Klang dilaporkan ditenggelami air selepas hujan lebat berterusan sejak awal pagi tadi. Antara kawasan terlibat adalah pusat bandar Kuala Lumpur, Ampang, dan Ulu Klang.




