
KUALA TERENGGANU – Kerajaan MADANI meluluskan peruntukan khas sebanyak RM60 juta bagi melaksanakan program pembasmian kemiskinan di Terengganu untuk tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu memberi tumpuan kepada peningkatan pendapatan rakyat serta pembaikan rumah khususnya membabitkan golongan berpendapatan rendah.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Madani YAB Perdana Menteri bersama Pelajar Tahfiz Negeri Terengganu di Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu, di sini, hari ini.
Menurutnya, pelaksanaan program itu akan diselaraskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri bagi memastikan bantuan disampaikan secara berkesan kepada golongan sasar.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan kepentingan penguasaan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan pelajar institusi pendidikan agama.
Katanya, institusi tahfiz, pondok dan pesantren tidak boleh ketinggalan dalam arus perkembangan teknologi semasa.
“Penguasaan teknologi maklumat termasuk AI ini penting, jangan kita ketinggalan dan biarkan orang lain terus ke hadapan,” katanya, seperti dilapor Berita Harian.
Pada masa sama, katanya, kerajaan turut meluluskan 18 projek dengan peruntukan RM1.8 juta bagi kerja-kerja menaik taraf infrastruktur dan fasiliti membabitkan 18 institusi tahfiz dan pondok di Terengganu.
Anwar juga berkata sistem pendidikan negara perlu terus menekankan keseimbangan antara ilmu dan adab, selain mengelakkan perpecahan dalam kalangan masyarakat.
“Cabaran kita adalah membina kefahaman, jati diri dan akhlak, di samping menguasai ilmu baharu seperti teknologi.
“Teknologi amat penting dalam situasi sekarang justeru pembabitan semua pihak dalam memartabatkan teknologi amat perlu,” katanya.







