
MUAR – Sebanyak 242 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) bakal dibina di daerah ini sekaligus menjadikan ia lokasi pertama pelaksanaan projek berskala besar.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kediaman mewah jenis teres setingkat berkeluasan antara 800 hingga 900 kaki persegi menawarkan harga rendah bagi tujuan membantu rakyat negeri ini memiliki kediaman iaitu pada RM100,000 dan RM150,000 sahaja.
“Saya sedar dan insaf bahawa keperluan terhadap perumahan yang selesa, berkualiti dan mampu milik bukan lagi satu kehendak, tetapi satu keperluan asas yang mendesak.
“Justeru, Kerajaan Negeri akan terus berusaha memastikan setiap keluarga mempunyai peluang yang adil untuk memiliki rumah sendiri.
“Insya-Allah, pembinaan projek ini akan bermula pada September 2025 dan dibuka untuk penawaran kepada rakyat Johor mulai awal tahun 2026,” katanya ketika mengadakan lawatan ke tapak projek di Residensi Bangsa Johor, Parit Jawa, di sini, semalam.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor dan ADUN Sungai Balang, Selamat Takim.

Menurut Onn Hafiz, selain pembinaan kediaman, projek ini turut merangkumi kemudahan komuniti seperti surau dan dewan terbuka demi membina persekitaran hidup yang harmoni dan sejahtera.
Sementara itu, Mohd Jafni berkata, pembinaan RMMJ ini turut menitikberatkan aspek kualiti, keselamatan dan kelestarian apabila kajian awal tanah mendapati bahawa kawasan ini tergolong sebagai tanah gambut.
“Bagi menjamin ketahanan struktur rumah, kerja-kerja rawatan dan penstabilan tanah perlu dilakukan terlebih dahulu. Ia termasuk pemadatan tanah, kawalan saliran dan kerja penanaman cerucuk.
“Langkah ini bukan sahaja mematuhi piawaian kejuruteraan, malah mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam membina perumahan rakyat yang benar-benar selamat, berkualiti dan tahan lama,” katanya yang memaklumkan kos keseluruhan projek ini bernilai sehingga RM81.9 juta.




