
USAHA kerajaan memperkukuh perlindungan terhadap mangsa buli melangkah setapak lagi apabila Rang Undang-Undang (RUU) Antibuli 2025 dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.
RUU berkenaan dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said selepas selesai sesi soal jawab lisan.
Sebelum ini, Azalina menjelaskan bahawa selepas bacaan pertama RUU tersebut, satu taklimat terperinci akan diberikan kepada Ahli Parlimen untuk menerangkan struktur Jawatankuasa, bidang kuasa Tribunal dan mekanisme pelaksanaannya.
Kerangka RUU Antibuli dirangka sebagai instrumen sivil yang memberi tumpuan kepada pengukuhan mekanisme pencegahan, perlindungan kepada mangsa serta pemulihan pelaku.
Azalina berkata, RUU itu memperkenalkan beberapa ciri utama yang menjadi teras kepada usaha membanteras buli dengan lebih menyeluruh dan responsif. Beliau turut dilaporkan berkata RUU tersebut buat kali pertama memberikan takrifan undang-undang yang jelas dan komprehensif terhadap perbuatan buli, merangkumi elemen fizikal, lisan dan dalam talian.
RUU itu juga telah dibentangkan kepada Jawatankuasa Pilihan Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat pada 19 November lalu sebagai sebahagian daripada proses konsultasi Parlimen.
Penggubalan RUU berkenaan dilaksanakan melalui proses libat urus komprehensif yang melibatkan pelbagai agensi dan pihak berkepentingan. Antara usaha tersebut termasuk penganjuran bengkel penggubalan pada 9 Oktober 2025 di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM), yang disertai Kementerian Pendidikan (KPM), Jabatan Peguam Negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut membentangkan RUU Imigresen (Pindaan) 2025 dan RUU Pasport (Pindaan) 2025 untuk bacaan kali pertama pada persidangan yang sama.




