KUANTAN – Pemuda UMNO Pahang mendakwa keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini dalam isu Titah Adendum membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mencemarkan nama dan kewibawaan Institusi Diraja serta asas Raja Berperlembagaan.
Ketuanya, Mohd Kamil Ibrahim menerusi satu kenyataan menegaskan pendirian tanpa kompromi Pemuda UMNO Pahang bahawa Najib perlu dipertahankan kerana beliau bukan sekadar seorang individu, sebaliknya lambang jasa, maruah dan sejarah UMNO dalam pembinaan negara.
Menurutnya, usaha berterusan menafikan keadilan terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan itu bukan sahaja menzalimi seorang pemimpin, malah memberi kesan besar terhadap keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan dan kenegaraan.
“Keputusan mahkamah ini membuka luka besar terhadap asas Raja Berperlembagaan. Dalam proses berkaitan pengampunan, Yang di-Pertuan Agong pada ketika itu adalah Sultan Pahang, Raja yang sah menurut Perlembagaan,” tegasnya.
Mohd Kamil menambah, sebarang tafsiran atau tindakan menafikan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong – sama ada secara langsung atau tidak langsung – dianggap sebagai satu penghinaan terhadap Institusi Diraja.
Ia juga sekali gus bercanggah dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.
“Kami turut merasa bimbang dengan kegagalan kerajaan hari ini mempertahankan kedudukan Raja dalam isu berkenaan.
“Ia bukan hanya menunjukkan kelemahan tadbir urus, tetapi satu kecuaian prinsip yang serius,” tegasnya.
Dalam perkembangan sama, dia turut mengkritik sikap segelintir pemimpin DAP yang didakwa terus mencabar dan memperlekeh rakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan.
Ini termasuklah ugutan menarik diri daripada kerajaan serta tekanan terbuka terhadap keputusan penting negara.
“Sikap sedemikian menunjukkan kegagalan menghormati asas muafakat dalam Kerajaan Perpaduan dan memperlihatkan kuasa sebagai bahan taruhan dan bukan lagi amanah rakyat,” jelasnya.
Mohd Kamil memaklumkan, Pemuda UMNO Pahang menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan ketua mereka, Datuk Dr Akmal Saleh, yang mencadangkan agar Barisan Nasional menarik sokongan terhadap kerajaan sedia ada.
Katanya, kerajaan yang gagal mempertahankan kedaulatan Raja, membiarkan maruah institusi negara dipersoalkan serta tunduk kepada tekanan politik sekutu, tidak lagi wajar dipertahankan.
“Kesetiaan UMNO adalah kepada agama, bangsa, negara dan Raja, bukan kepada kerusi atau kuasa sementara.
“Jika kerajaan hari ini tidak lagi selari dengan roh Perlembagaan dan kedaulatan Raja, maka menarik sokongan adalah satu tindakan bermaruah dan berprinsip,” tambahnya.







