KOTA KINABALU – Kepimpinan baharu Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) memberi fokus kepada tiga teras utama iaitu pendidikan, keusahawanan dan politik dalam pembangunan wanita.
Pengerusinya, Datuk Dr Rosmawati Lasuki berkata, usaha itu adalah selaras dengan hala tuju Kerajaan Negeri Sabah.
“Kami ini ikut apa hala tuju Kerajaan Negeri, semasa watikah itu Datuk Seri Hajiji Noor, sangat jelas menyebut pendidikan, keusahawanan dan politik,” katanya ketika diminta mengulas mengenai fokus kepimpinan baharu MPWS untuk wanita pada tahun ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media semasa Majlis Hi-Tea Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) dan MPWS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Ahad.
Rosmawati berkata, dari segi aspek pendidikan pihaknya giat membantu para wanita untuk membina masa depan yang lebih baik.
“Sekiranya ada kekosongan jawatan yang perlu diisi, kita mahu wanita turut dipertimbangkan setara bukan semata-mata atas dasar hak wanita, tetapi juga berdasarkan merit untuk memegang jawatan tersebut.
“Dalam bidang kesusahawanan pula, kita akan membantu wanita agar mereka dapat menembusi pasaran global,” jelasnya.
Manakala dari segi politik yang dimaksudkan bukan sekadar kuasa atau parti sebaliknya ia ditafsirkan sebagai satu bentuk kepimpinan seperti MPWS memainkan peranannya untuk memperkukuhkan kesediaan wanita.
Sementara itu, Pengarah JHEWA Sabah, Haslina Ismail berkata, pihaknya juga melaksanakan beberapa inisiatif bagi mempersiapkan golongan wanita sebagai pembuat keputusan dalam kerajaan.
“Tentang kesediaan wanita, apa yang kita laksanakan di pihak JHEWA, kita sebenarnya sudah kenal pasti dan kita bagi beberapa program untuk kita sediakan wanita-wanita yang telah kita pilih ini sebagai salah satu ‘decision making’ untuk kerajaan.
“Termasuk satu program daripada MPWS sebelum ni, yang kita sasarkan kepada pemimpin akar umbi, pemimpin-pemimpin selain daripada penjawat awam, adalah di Akademi Kepimpinan Wanita.
“Antaranya, ialah usaha-usaha kita memberikan kursus-kursus, memberikan pendedahan kepada wanita-wanita dan akhirnya akan lahirlah calon-calon yang perlu, yang boleh kita ketengahkan sebagai mungkin pemimpin politik ataupun yang lain,” ujarnya.







