PUTRAJAYA – Menteri ASEAN menegaskan agar Myanmar mematuhi sepenuhnya Konsensus Lima Perkara (5PC) sebagai syarat utama sebelum mengadakan pilihan raya di negara itu.
Demikian keputusan dicapai dalam Mesyuarat-menteri Luar ASEAN, malam tadi.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ASEAN telah menyampaikan mesej jelas, tegas dan konsisten kepada Myanmar bahawa sebarang perbincangan berhubung pilihan raya hanya boleh dilakukan selepas pelaksanaan penuh 5PC.
“Tiada gunanya mengadakan pilihan raya sekiranya hanya sebahagian rakyat Myanmar terlibat.
“Itu hanya memburukkan lagi keadaan. ASEAN berpegang teguh bahawa Konsensus Lima Perkara ini mesti dipatuhi Majlis Pentadbiran Negara (SAC),” katanya seperti dilapor Bernama.
Sementara itu, Menteri Luar ASEAN turut mengulangi sokongan mereka terhadap keahlian penuh Timor-Leste dalam blok serantau itu, sambil mengiktiraf kemajuan ketara negara terbabit dalam melaksanakan peta hala tuju ASEAN.
Mohamad berkata perkembangan itu adalah antara sorotan utama Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN (AMM) yang berlangsung di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di sini, yang turut bersetuju menubuhkan Pasukan Petugas Khas bagi Timor-Leste.
Beliau menekankan bahawa Timor-Leste perlu menggandakan usaha memenuhi semua keperluan dan memastikan pematuhan terhadap instrumen perundangan ASEAN, sambil menyuarakan harapan agar keanggotaan penuh negara itu dapat dimuktamadkan semasa Sidang Kemuncak ASEAN bersama Rakan Dialog pada penghujung Oktober ini.






