
SIBU: Program Kembara Jumpa Orang Muda (Kembara JOM) diadakan untuk mendapatkan sebarang maklum balas draf pindaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007.
Menurut Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim, pindaan akta terbabit diluluskan oleh Parlimen pada 2019 dan dijangka dilaksanakan pada 1 Januari 2026.
“Perubahan utama yang dicadangkan ialah penurunan had umur belia kepada 30 tahun, penetapan had umur ketua pertubuhan belia serta had tempoh kepemimpinan kepada empat tahun,” jelas Adam ketika berucap pada Program Kembara JOM di Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Sibu, semalam.
Tambah Adam, Kembara JOM juga merupakan platform terbaik untuk mendapat sebarang maklum balas berkenaan pelan transisi kepemimpinan belia.
“Kembara JOM juga bertujuan meningkatkan pengetahuan golongan belia berkenaan Akta 668 dan pindaan 2019,” ujar Adam.
Jelas Adam lagi, kembara tersebut juga memberi penjelasan hala tuju belia dan kepemimpinan belia negara.
“Maklum balas daripada peserta sangat penting supaya dapat memuktamadkan pelan ini,” kata Adam sambil menyatakan kembara ini memberi ruang dan peluang kepada golongan belia dalam menyampaikan pandangan mereka secara langsung kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Difahamkan Kembara JOM peringkat bahagian Sibu 2024 turut melibatkan Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY), aktiviti Rakan Muda, dan pameran oleh jabatan serta agensi-agensi kerajaan.
Adam Adli turut menegaskan inisiatif ini mencerminkan komitmen kerajaan MADANI terhadap pembangunan belia, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Model Pembangunan Belia MADANI 2030 (MPBM 2030).
Turut hadir Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Lamat Nyalau.