
MUAR – Susulan penemuan dua mayat anak-beranak ditemui dalam sebuah kediaman di Taman Indah, Sungai Abong, di sini, kelmarin, polis mengesahkan tiada sebarang unsur jenayah ditemui di lokasi kejadian.
Berikutan itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kes kekal diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Namun ujar beliau, sebab utama kematian masih belum diketahui berikutan pihaknya masih menunggu keputusan makmal mengaitkan punca kematian warga emas berusia 76 tahun dan anak lelakinya berstatus Orang Kurang Upaya (OKU), 37 tahun.
“Bedah siasat sudah selesai, namun mayat belum boleh dituntut kerana masih menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik atau DNA,” katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.
Menurut Raiz Mukhliz, seorang lagi anaknya iaitu wanita OKU berusia 44 tahun yang turut ditemui di rumah terbabit dalam keadaan lesu dan tidak bermaya, kini keadaan stabil.
“Dia masih dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, di sini dan dalam proses untuk dituntut saudara terdekat,” katanya.
Semalam, media melaporkan dua beranak ditemui mati dalam kediaman dipercayai telah meninggal dunia sejak hampir seminggu.
Turut ditemukan, seorang lagi penghuni iaitu anak perempuan kepada warga emas berkenaaan dalam keadaan lesu dan tidak bermaya dipercayai kerana kelaparan.
Menurut jiran tetangga, bapa dan dua anaknya masing-masing berstatus OKU lembam itu tinggal bersama sejak sekian lama selepas kematian isterinya.







