
PUTRAJAYA – Terdapat keperluan buat kerajaan mengambil tindakan paling tegas terhadap syarikat-syarikat pengangkutan yang terlibat dalam nahas khususnya kemalangan maut.
Aktivis keselamatan jalan raya, Shahrim Tamrin berkata, kemalangan melibatkan kenderaan berat semakin membimbangkan dan sering mengakibatkan kehilangan nyawa, namun timbul persoalan terhadap syarikat terlibat tidak diambil tindakan undang-undang.
Beliau mendakwa, hasil penelitian pihaknya sejak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) ditubuhkan, belum pernah pendakwaan di mahkamah dilakukan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau polis terhadap pengendali syarikat pengangkutan setiap kali nahas kenderaan berat berlaku dan merekodkan kematian serta kecederaan.
“Sebagai contoh kedua-dua operator atau pengarah syarikat bas bagi nahas maut melibatkan jumlah korban yang besar membabitkan bas di KM3.6 Jalan Genting Highlands- Kuala Lumpur serta kemalangan bas dinaiki pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris, empat bulan lalu masih belum dihadapkan ke mahkamah.
“Sehubungan itu, sekarang adalah masa yang tepat untuk pihak berkuasa mengheret operator pengangkutan yang degil dan cuai ke mahkamah,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Rabu.

Mengulas lanjut, Shahrim memaklumkan, pihaknya juga turut melakukan semakan dengan mencari dokumen mahkamah serta memohon pengesahan dari pihak berkuasa namun sehingga kini tiada pengendali rel dan pengangkutan jalan raya telah diheret ke mahkamah semasa era SPAD dan LPKP sebelum ia dibubarkan.
Menurutnya, sejak 2008 beliau kerap bertanyakan kepada Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), SPAD, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan JPJ mengenai rekod mahkamah untuk kes pertuduhan nahas jalan raya terhadap operator, syarikat pengendali logistik, syarikat bas ekspres atau pengarah syarikat pengangkutan kenderaan komersil akibat disyaki unsur-unsur lalai dari segi operasi atau keadaan kenderaan tidak memuaskan.
“Sepanjang pengetahuan saya, menurut Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan di dalam peraturan permit berserta kod keselamatan iCOP SHE, syarikat pengangkutan boleh dikenakan tindakan mahkamah kerana kecuaian atau kegagalan mematuhi garis panduan keselamatan.
“Namun, saya dimaklumkan oleh beberapa pegawai tinggi kerajaan bahawa usaha pendakwaan terhadap syarikat adalah sukar kerana proses pendakwaan rumit akibat tiada dapatan jelas serta ketiadaan pertuduhan khusus,” katanya.
Dalam kejadian Sabtu lalu, kemalangan melibatkan sebuah lori tiga tan yang membawa barangan lusuh, kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan X-Trail milik Jabatan Kerja Raya (JKR), sebuah kereta jenis Honda City dan Proton X70.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kegagalan sistem brek menyebabkan lori itu melanggar tiga kenderaan yang sedang menuju ke lorong tol lapan dan lorong tol sembilan plaza tol.




