
PENAMPANG – Kata-kata kesat yang didakwa dikeluarkan oleh seorang remaja perempuan dipercayai menjadi punca dia cedera parah selepas dikelar seorang lelaki warga asing dalam kejadian di Kampung Tuntuluk, Nosoob di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Penampang Supt. Sammy Newton berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah hari ketika suspek datang ke rumah mangsa untuk bertemu kakak ipar mangsa bagi menuntut baki hutang kerja membaiki paip rumah.
“Semasa kejadian, mangsa yang berada di rumah bersama seorang kanak-kanak lelaki yang juga anak buahnya sedang berada di dapur untuk menyediakan makanan.
“Suspek mendakwa berlaku pertengkaran selepas mangsa mengeluarkan kata-kata kesat sebelum suspek bertindak merampas sebilah pisau daripada tangan mangsa dan mengelar lehernya,” ujarnya dalam satu kenyataan di laman sosial rasmi Polis Daerah Penampang, pada Khamis.
Tambah Sammy, suspek turut bertindak menolak mangsa ke dinding tandas sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian kepala dan leher sebelum melarikan diri dari lokasi kejadian.
“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil, namun mengalami kecederaan serius termasuk luka kelar di leher dan luka tetakan di bahagian kiri kepala.
“Bertindak atas maklumat risikan, polis berjaya menahan suspek lelaki warga asing berusia 29 tahun di kawasan semak tepi jalan Pekan Kinarut Lama, Papar kira-kira jam 5.50 petang pada hari kejadian.
“Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan turut didapati positif dadah jenis methamphetamine selepas ujian saringan air kencing dijalankan,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Tambahnya lagi, pasukan forensik dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Sabah bersama pegawai penyiasat hadir ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan lanjut.
Sammy turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Penampang, Asisten Superintenden Hairie Awang Akub di talian 016-803 2849 bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan spekulasi atau berita tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan serta menimbulkan kegusaran awam.
Pada tengah hari Khamis, tular di media sosial seorang remaja perempuan,16 tahun, dipercayai warga asing ditemukan cedera parah di rumahnya di Kampung Kampung Tuntuluk, Nosoob, Penampang.





