KUANTAN – Keluasan tanah rizab Melayu semasa di Pahang ialah 444,074 hektar, 12.34 peratus daripada keluasan negeri ini iaitu lebih 3,597,206 hektar, kata Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau memaklumkan jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding tahun 1955 yang merekodkan hanya enam peratus daripada keluasan Pahang.
“Justeru, tanah rizab Melayu dilihat menunjukkan peningkatan dari tahun sebelum merdeka dan masa kini,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Mohd Fadzli Mohd Ramly (ADUN Lantikan) yang ingin tahu sama ada tanah rizab Melayu diperuntukan sejak merdeka bertambah atau berkurang.
Menjawab soalan tambahan Mohd Fadzli sama ada kerajaan negeri bercadang menjadikan tanah baharu yang diberikan milik status pajakan mukim sebagai tanah rizab Melayu, Wan Rosdy berkata, pihaknya sedia mengkaji perkara itu.
“Satu cadangan yang baik, memang usaha kerajaan negeri dari dulu sampai sekarang… mana-mana yang boleh kita rizab sebagai tanah Melayu, kita akan buat.
“Jika ada peluang dan mendapat pandangan Pengarah Pejabat Tanah dan Galian dan Penasihat Undang-undang… kita akan tukar sebagai tanah rizab Melayu,” katanya.




