
KOTA KINABALU – Sijil Pendidikan Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Tahun 2025 negeri ini menunjukkan prestasi yang membanggakan apabila mampu bersaing dengan negeri-negeri lain.
Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin berkata, Sabah dapat mencatat keputusan yang seimbang dengan keputusan di negeri lain buat kali pertama.
“Majlis hari ini merupakan satu pengiktirafan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), pengetua, pelajar serta ibu bapa atas usaha memastikan kecemerlangan pendidikan di negeri ini.
“Peningkatan bilangan PPD yang mencatat keputusan di bawah gred purata negeri amat membanggakan.
“Daripada 24 PPD di Sabah, 15 berjaya merekodkan gred purata di bawah 5, sekali gus menyumbang kepada pencapaian Sabah sebanyak 4.85 mata dan saya berharap momentum ini diteruskan pada 2026,” ujarnya semasa sidang media Majlis Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan SPM & STAM 2025, di Dewan Sekolah Menengah Kian Kok, di sini pada Khamis.

Pada majlis, turut disampaikan anugerah kepada pelajar SPM yang memperoleh semua A dalam mata pelajaran yang diambil.
Dalam pada itu, Raisin berkata, pihaknya turut memantau keadaan cuaca panas yang berlaku di beberapa daerah di Sabah.
“Kita sentiasa memantau cuaca di Sabah dan semua sekolah serta PPD diminta melihat tahap cuaca semasa. Jika berlaku cuaca panas melampau, tindakan akan diambil mengikut garis panduan ditetapkan.
“Pihak sekolah turut diberi kelonggaran untuk membenarkan murid memakai pakaian yang sesuai dan kemas sepanjang cuaca panas, tanpa perlu terikat sepenuhnya kepada pemakaian seragam sekolah biasa,” kongsinya.




