DALAM tempoh sembilan bulan pertama tahun 2024, sebanyak 18,507 orang penyalah guna dan penagih dadah dicatatkan di Kelantan dan angka ini menyamai 10.9 peratus daripada 169,691 kes yang dicatatkan seluruh Malaysia.
Mengikut statistik daripada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Kelantan mencatatkan peningkatan ketara bermula tahun 2021 iaitu sebanyak 11,843 kes direkodkan, 13,316 kes pada 2022, 13,915 (2023) dan tambahan 4,592 kes berbanding tahun 2023 setakat September 2024.
Daripada 11 jajahan di Kelantan, jajahan Kota Bharu mengungguli tangga pertama kes penyalah guna dan penagih dadah tertinggi dengan 3,744 kes, diikuti Pasir Mas dengan 2,591 kes dicatatkan dan 2,164 kes di Bachok, malah ketiga-tiga kawasan tersebut kekal mencatatkan kes terbanyak direkodkan selama tiga tahun berturut-turut.
Selain itu, dadah jenis Amphetamine-Type-Stimulant yang terdiri daripada Syabu, Ice dan Batu (Methamphetamine Crystalline), Pil Kuda, Pil Yaba, Pil Yama, dan Pil Bom (Methamphetamine), Ecstasy dan Amphetamine kekal menjadi dadah paling popular dan paling banyak disalah guna di Kelantan sejak 2020 dengan 16,469 kes direkodkan pada 2024 berbanding 11,525 pada 2020.
Dadah jenis Opiat yang terdiri daripada Candu, Heroin, Morfin dan Kodein pula menunjukkan pengurangan penyalahgunaan dengan hanya 914 kes dicatatkan pada 2024 berbanding 1,180 pada 2023, manakala dadah jenis Pil Psikotropik, Ketum, Kokain dan Ganja menunjukkan peningkatan ketara iaitu masing-masing mencatatkan 804 kes, 205 kes dan 115 kes.
Seterusnya, berdasarkan statistik kemasukan klien AADK setakat September 2024, faktor utama keterlibatan dalam penyalahgunaan dadah serta bahan di Negeri Kelantan adalah berpunca daripada faktor pengaruh kawan (46 peratus) diikuti oleh faktor perasaan ingin tahu (35 peratus), manakala selebihnya adalah faktor keseronokan, tekanan jiwa, rangsangan dan lain-lain.
Namun begitu, ketirisan laluan sempadan negara juga boleh menjadi salah satu faktor perangsang kepada pengedar dan penyalah guna dadah untuk mendapatkan bekalan dadah dengan lebih mudah daripada negara jiran terutamanya dari Thailand selain daripada menyeludup masuk melalui lapangan terbang.
Bercakap kepada The Malaysia Press, Ketua Penolong Pengarah (Operasi) AADK, Hamizan Haidzir berkata, ketirisan laluan sempadan negara bukanlah faktor utama kepada peningkatan kes penyalah guna dan penagih dadah dan bahan namun ia antara salah satu faktor penyumbang kepada kemudahan untuk mengakses bekalan dadah terutamanya melalui sempadan Malaysia-Thailand.
Menurutnya, bagaimanapun, bagi mencegah dan mengurangkan peningkatan kes dadah itu, perlu dilihat daripada dua perkara iaitu melibatkan pengurangan permintaan ‘demand reduction’ dan pengurangan bekalan ‘supply reduction’ yang mana perlu ditangani secara bersepadu dan bersama.
“Supply reduction maksudnya kita kena kurangkan bekalan dadah daripada luar supaya tidak memasuki negara, kalau boleh, perlu disekat secara langsung, kita kena sekat dadah daripada masuk dan dihasilkan di dalam makmal dadah, bagi dadah sintetik iaitu dadah yang tidak ditanam dan dibuat dalam makmal.
“Kita kena hapuskan makmal-makmal dadah, pastikan semua bahan yang digunakan untuk buat dadah tidak disalahguna sebab bahan kimia untuk buat dadah ini pada asalnya digunakan untuk buat kosmetik, tujuan komersial, ubat dan sebagainya tapi disalah guna untuk buat dadah.
“Di utara Semenanjung Malaysia iaitu merangkumi sempadan Malaysia dengan Thailand itu antara laluan paling utama kemasukan dadah selain daripada diseludup masuk daripada luar negara melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan sebagainya dan antara yang paling mudah sekali ialah melalui Sungai Golok,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut mengenai pengurangan permintaan atau ‘demand reduction’ pula, Hamizan berkata, ia dapat ditangani dengan memberikan pendidikan, bimbingan dan nasihat yang sepatutnya kepada masyarakat supaya mereka berjaya untuk menolak godaan daripada mengambil dadah.
“Kalau tiada permintaan pengedar dan pembekal dadah tidak boleh jual juga, tetapi kalau tiada permintaan, tetapi ada pujuk rayu, tipu helah pengedar dan pembekal maka pembeli akan terpedaya juga, itulah sebabnya kedua perkara tadi (supply reduction dan demand reduction) perlu bersepadu.
“Kita kena didik rakyat daripada muda hingga ke tua, walaupun yang paling banyak berisiko adalah golongan muda iaitu remaja dan belia, namun mereka perlu dididik supaya tolak dadah walaupun ada godaan, tipu helah pengedar dadah, tokan dadah untuk tarik kita jadi penyalah guna dan penagih dadah, kena ada jati diri, kekuatan dalaman dan tahu caranya,” ujarnya.
Jelasnya, berkenaan situasi penyalahgunaan dan penagihan dadah di Malaysia masih lagi terkawal namun di negeri yang berada hampir dengan sempadan Malaysia-Thailand iaitu Kelantan dan Terengganu, situasinya masih terkawal tetapi sangat membimbangkan.

“Situasi di Malaysia masih lagi terkawal, tetapi terkawal itu bukan bermaksud pihak berkuasa boleh duduk senang lenang. Masih terkawal tetapi sangat membimbangkan, bukan sahaja di Kelantan tetapi di Terengganu juga sama saja situasinya.
“Kalau nak kata sama dengan situasi di Afghanistan, tidaklah sebegitu, kalau terkawal, terkawal lah bukan bermakna kita boleh duduk bertenang tetapi seharusnya kita kenalpasti punca masalah dan tanganinya sebelum ia menjadi semakin teruk,” katanya.
Tambah Hamizan, antara kebimbangan utama buat masa ini ialah penyalahgunaan dan penagihan dadah dalam bentuk rokok elektronik atau vape, yang mana kehadirannya sukar dikenal pasti kerana berada dalam bentuk cecair perisa rokok elektronik.
“Kebimbangan utama sekarang adalah vape, yang mempunyai dadah iaitu bahan di dalam perisa vape itu atau lebih dikenali sebagai ‘flavour mushroom’ yang mana pada akhirnya menyebabkan pelajar jadi ‘gila’ itu bahasa mudahnya.
“Kalau dadah jenis syabu kurang merisaukan kerana ia dapat dikesan tetapi dadah melalui rokok elektronik ini lebih bahaya kerana ia sukar dikesan,” katanya.
Sebagai rekod, ‘flavour mushroom’ adalah sejenis vape berperisa mushroom ataupun ganja yang mana ia berasal dari spesis cendawan dalam genus Psilocybe yang mengandungi bahan aktif utama psilocybin iaitu sejenis halusinogen yang sangat kuat.
Pengambilan bahan ini akan menyebabkan halusinasi, berasa seronok yang melampau dan tidak sedarkan diri sepenuhnya malah pengguna flavour mushroom ini akan merasakan setiap 5 minit di dunia nyata seolah-olah seperti berada dua hingga tiga jam di dalam dunia khayalan.







