PEMIMPIN Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) perlu menerajui kerjasama ekonomi global dengan lebih berani, menjadikan platform itu sebagai ‘piawaian emas’ dalam tadbir urus global, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Berucap pada Dialog Tidak Rasmi Pemimpin dengan Tetamu APEC di Peru, Perdana Menteri berkata, APEC perlu tampil di barisan hadapan untuk membina ekonomi inklusif, mapan dan adil.
“Dunia sedang memerhati, dan kita tidak mampu untuk berlengah. APEC mesti menjadi penanda aras dalam kerjasama ekonomi global.
“Dengan memastikan tadbir urus global yang baik, membina daya tahan dan melindungi golongan rentan serta tertindas, kita dapat menawarkan hala tuju dunia yang bukan sahaja makmur tetapi juga mapan dan adil,” katanya.
Anwar turut menyeru pemimpin dunia untuk bertindak dengan berani bagi mencipta sejarah baharu.
Beliau mengingatkan bahawa gangguan global kini adalah norma baharu yang memerlukan pendekatan lebih proaktif.
Katanya, APEC wajar membangunkan kerangka ekonomi responsif terhadap kejutan, melangkaui sekadar bertahan.
“Bayangkan persekitaran perdagangan dan pelaburan di mana setiap ekonomi APEC, sama ada besar atau kecil, maju atau sedang membangun, mampu menyerap kejutan dan terus berkembang.
“Ini bermula dengan integrasi digital yang lebih mendalam, kewangan hijau yang kukuh, dan komitmen terhadap rantaian bekalan yang adil serta telus,” katanya.








