
KOTA KINABALU – Kelangsungan perjuangan politik dan semangat penyatuan jentera parti menjadi asas penting menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah, kata Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.
Beliau berkata, perjuangan politik bukan sekadar meraih kemenangan segera, sebaliknya memerlukan kesabaran, komitmen jangka panjang dan kesatuan akar umbi untuk membina kekuatan yang mampan.
“Dalam mana-mana gerakan, jika tiada kelangsungan, sukar untuk menang. Kadang-kadang kita hanya menang sedikit kerusi, atau tidak menang langsung.
“Saya sendiri menyaksikan bagaimana PKR bertanding berkali-kali di Lembah Pantai sebelum menang pada cubaan ketiga. Itulah erti kelangsungan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera PRN17 PKR Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini pada Sabtu.

Menurut beliau, selepas Konvensyen PKR Sabah pada Ogos lalu yang menghimpunkan lebih 10,000 anggota, parti kini bersedia memperkukuh jentera untuk menghadapi PRN akan datang.
“Kita sudah mula, kita bersedia dan kita mahu menang. Tetapi untuk menang, rakyat perlu nampak usaha dan keberkesanan kita,” katanya.
Tambah Nurul Izzah, pendekatan turun padang melalui pelbagai program bersama rakyat adalah antara langkah terbaik untuk menunjukkan kesungguhan parti dalam menyentuh kehidupan masyarakat.
“Kita anjurkan program bersama pengusaha, penternak, penjahit tapi dengan syarat, mesti bersama Ketua Cabang, pimpinan negeri dan jika ada YB kawasan, mereka juga mesti hadir.
“Biar rakyat nampak bendera PKR dikibarkan, nampak ada kesan. Bukan sekadar hadir, tapi ada tindakan, ada keadilan yang sampai kepada rakyat,” ujarnya.
Beliau turut berkongsi contoh bagaimana Ketua Cabang di Beaufort, walaupun bukan wakil rakyat, tetap turun bersama pasukan PKR bertemu penjahit tempatan sebagai tanda komitmen mendekati masyarakat akar umbi.
Mengulas lanjut, Nurul Izzah berkata faktor umur atau sejarah penubuhan sesebuah parti bukanlah penentu kepada kejayaan dalam pilihan raya.
“Sejak tahun 1969, banyak parti telah wujud lebih lama. Tapi bukan usia penentu kemenangan, sebaliknya kepedulian dan keupayaan kita menyelami denyut nadi rakyat.
“Kita mungkin bergerak di kawasan pedalaman yang jauh, tetapi rakyat akan mengingati siapa yang benar-benar hadir membantu mereka – bukan semata-mata bantuan kewangan, tetapi kehadiran dan keprihatinan,” jelasnya.
Dalam usaha memperkukuh PKR di Sabah, Nurul Izzah menyeru agar semangat kerjasama antara cabang dan ranting diperkukuhkan.
“Tiada pemimpin yang kuat jika pasukannya lemah. PKR Sabah tidak akan kuat tanpa kekuatan cabang, dan cabang tidak akan kukuh jika ranting-rantingnya rapuh.
“Sebagai pemimpin, kita perlu mewujudkan rasa kekitaan, menghargai semua peringkat agar mereka tahu mereka adalah sebahagian daripada perjuangan besar ini,” ujar beliau.






