
KOTA KINABALU – Barisan Nasional (BN) Sabah tidak pernah tewas melalui pilihan rakyat, sebaliknya kejatuhan kerajaan pada tahun 2018 berpunca daripada pengkhianatan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang melompat parti selepas keputusan pilihan raya diumumkan.
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan bahawa tindakan melompat parti itu telah menggugat kestabilan politik negeri dan mengkhianati mandat rakyat yang memilih BN sebagai parti majoriti melalui proses demokrasi yang sah.
“Mereka yang melompat itu menolak untuk berdiri bersama kerajaan pusat BN yang pada ketika itu menjadi pembangkang.
“Tindakan itu bukan sahaja menggugat kestabilan politik Sabah, malah mengkhianati mandat rakyat yang telah memilih BN,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Rabu.
Jelas Bung, episod hitam berkenaan harus menjadi pengajaran besar kepada rakyat Sabah agar tidak lagi membiarkan masa depan negeri ditentukan oleh politik lompat parti.
“Politik moden bukan lagi soal siapa berkuasa, tetapi soal keabsahan dan kepercayaan.
“Apabila kerajaan bertukar bukan kerana kehendak rakyat, tetapi kerana pengkhianatan mandat, maka yang runtuh bukan sekadar kerajaan yang runtuh ialah institusi, moral, dan maruah politik negeri itu sendiri,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa Sabah kini berdepan apa yang disebut sebagai ‘democratic fatigue’ iaitu keletihan rakyat terhadap politik yang tidak berprinsip dan tidak konsisten.
“Setiap episod lompat parti bukan sekadar drama politik, tetapi mencederakan kontrak sosial antara rakyat dan pemimpin.
“Kerajaan yang lahir daripada pengkhianatan tidak akan mampu menumbuhkan keyakinan. Tanpa keyakinan, tidak akan ada kestabilan yang mampu bertahan,” tambahnya.
Katanya lagi, kestabilan tidak akan lahir daripada slogan semata-mata, tetapi daripada integriti kepimpinan dan kekuatan sistem.
“UMNO dan BN membawa dua elemen utama dalam pentadbiran moden konsistensi dasar dan kesinambungan institusi.
“Pembangunan tidak boleh dibina di atas kekacauan politik. Pelaburan memerlukan kestabilan, dasar memerlukan kesinambungan, dan rakyat memerlukan keyakinan,” katanya.
Beliau menyeru agar politik percubaan dihentikan dan menegaskan keperluan untuk Sabah memiliki kepimpinan berwawasan serta pentadbiran yang berpaksikan akal dan keteguhan dasar.
“Cukuplah dengan politik percubaan. Sabah memerlukan keteguhan dasar, kepimpinan berwawasan, dan pentadbiran yang berpaksikan akal,” tegas beliau.





