
MUZAFFARABAD – Pasukan tentera Pakistan diberi ‘kuasa penuh’ oleh kerajaan untuk menyerang bagi menuntut bela terhadap kematian akibat serangan India awal pagi semalam.
Perkembangan itu secara langsung menandakan kemungkinan peningkatan ketegangan terburuk dalam beberapa dekad antara dua negara jiran yang memiliki senjata nuklear.
Sekurang-kurangnya 43 kematian dilaporkan, dengan Islamabad menyatakan 31 orang awam terbunuh akibat serangan udara dan tembakan rentas sempadan India, manakala New Delhi melaporkan sekurang-kurangnya 12 kematian akibat serangan balas Pakistan.
“Kami berikrar akan menuntut bela atas setiap titisan darah semua korban syuhada ini,” kata Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif ketika berucap dalam satu perutusan negara lewat malam tadi.
Dalam pada itu, tentera India berkata, pihaknya sudah memusnahkan sembilan ‘kem pengganas’ di Pakistan pada awal pagi semalam.
Serangan India dilancarkan dua minggu selepas New Delhi mendakwa Islamabad menyokong serangan terhadap pelancong di Kashmir – yang ditadbir India – namun tuduhan itu dinafikan Pakistan.
Jurucakap tentera Pakistan, Mejar Jeneral Ahmed Sharif Chaudhry mendakwa lima jet pejuang India ditembak jatuh di sempadan.
Sementara itu, sumber keselamatan kanan India yang enggan dikenali, menyatakan tiga jet pejuang India terhempas di wilayahnya sendiri.
Kedua-dua pihak turut berbalas tembakan artileri berat di sepanjang Garisan Kawalan (LoC) memisahkan Kashmir, wilayah yang dituntut sepenuhnya oleh kedua-dua negara tetapi ditadbir secara berasingan.
India menyatakan tindakannya ‘bersasar, terkawal dan tidak bertujuan mencetuskan peningkatan ketegangan’.
Jurucakap tentera Pakistan berkata, tembakan masih ‘berterusan’ di Garisan Kawalan dan Islamabad akan bertindak balas terhadap serangan udara itu.
Chaudhry menegaskan Pakistan berhak bertindak balas bagi mempertahankan diri, ‘pada masa, tempat dan caranya tersendiri’ serta menyatakan pasukan tentera diberikan ‘kuasa penuh’ berbuat demikian.
Sementara itu, Menteri Pertahanan India, Rajnath Singh, berkata, operasi itu ‘hak New Delhi bertindak balas’ susulan serangan terhadap pelancong di Pahalgam, Kashmir, bulan lalu.
Pakistan menafikan sebarang pembabitannya dalam serangan pada 22 April lalu yang mengorbankan 26 pelancong, hampir kesemuanya lelaki beragama Hindu.
India dijangka melancarkan operasi tentera susulan serangan di Pahalgam, yang didakwa dilakukan kumpulan Lashkar-e-Taiba yang berpangkalan di Pakistan.