
ISKANDAR PUTERI – Polis menahan dua remaja lelaki ekoran tindakan mereka membuat aksi wheelie ketika menunggang motosikal di sekitar daerah ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintendan Mohd Azlan Abdul Kadir berkata, remaja berusia 14 dan 17 tahun ditahan dalam Op Samseng Jalanan dan Op Motosikal di Jalan Lebuh Ismail Sultan dan Lebuhraya LinKedua di sini pada Sabtu dan Ahad lalu.
Menurutnya, dalam operasi berkenaan sebanyak 314 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas serta menyita 97 buah motosikal.
“Antara kesalahan lalu lintas dan sitaan motosikal yang dibuat di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 adalah kerana melakukan ubah suai struktur kenderaan seperti pada ekzos, nombor pendaftaran fancy, tiada lesen memandu, tiada cermin sisi serta tiada perlindungan insuran.
“Skuad 42 Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Iskandar Puteri telah menjalankan Op Samseng Jalanan dan Op Motosikal bertujuan membanteras mat rempit,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Katanya, operasi berkenaan dijalankan sebagai tindakan tegas terhadap mat rempit yang masih bermaharajalela sehingga menggangu pengguna jalan raya lain.
Beliau memberitahu, sebanyak 314 keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas dan turut menyita 97 buah motosikal selain tangkapan mat rempit yang melakukan aksi membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya.
Terdahulu, katanya, sepanjang operasi itu, sebanyak 126 buah kenderaan dan 136 individu diperiksa.
Pada masa sama, Mohd Azlan menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya memantau pergerakan anak-anak terutamanya mereka yang keluar menggunakan motosikal.
“Ia bagi mengelakkan anak-anak muda ini terjebak dengan kegiatan samseng jalanan yang lebih berisiko untuk menyebabkan kematian.
“Operasi seumpama ini akan dilakukan secara berterusan untuk mencegah aktiviti lumba haram ini untuk memastikan ketenteraman awam terjaga,” katanya.