
PELABUHAN KLANG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit II Selangor merampas 231 kenderaan pelbagai jenis dan jenama bernilai RM27.452 juta yang tidak mempunyai permit import dalam dua operasi berasingan di sini.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata serbuan pertama membabitkan penahanan 67 kontena bersaiz 40 kaki di Zon Bebas, Pelabuhan Utara pada 25 Jun lalu.
Katanya, hasil pemeriksaan lanjut pihaknya berjaya menemui 200 kenderaan pelbagai jenis dipercayai tidak mempunyai permit import.
“Nilai dagangan dianggarkan RM20,600,000 manakala jumlah duti/cukai pula berjumlah RM2,060,000,” katanya dalam sidang media di Pejabat Kastam Selangor Pelabuhan Utara, di sini hari ini.
Norlela berkata dalam operasi kedua, pada 27 Jun lalu pihaknya merampas 17 kontena yang membawa 31 kenderaan dengan anggaran nilai dan duti/cukai berjumlah RM4,792,000.
“Penahanan di lokasi sama yang mana semua kenderaan dipercayai tidak mempunyai permit import.
“Nilai dagangan dianggarkan berjumlah RM1,789,000 dengan jumlah duti/cukai yang terlbabit dianggarkan berjumlah RM3,003,000,” katanya lagi seperti dipetik dari Berita Harian.
Norlela berkata antara kenderaan yang dirampas adalah jenama Mini Cooper, Alphard dan EV, dipercayai untuk pasaran dalam Malaysia.
Katanya, kedua-dua kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 iaitu mengimport apa-apa barang larangan berlawanan dengan sesuatu larangan mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.