
SETELAH dilaporkan kritikal akibat mengalami pendarahan dalaman semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain hari ini disahkan berada dalam keadaan stabil.
Perkara itu dikongsikan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi selepas hadir menziarahi beliau di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini, semalam.
Menurut Onn Hafiz, Sharifah Azizah kini masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan bagi tujuan pemantauan.
“Semasa menziarahi beliau, saya sempat bertemu dengan anak-anaknya dan mendapatkan maklumat lanjut daripada Dr. Ngazraini Abdul Maei berhubung keadaan beliau. Doktor maklumkan keadaannya stabil namun perlu dipantau.
“Mari kita sama-sama doakan agar ADUN Mahkota yang sedang menghadapi ujian kesihatan ini, diberikan kesembuhan segera dan dipermudahkan segala urusan oleh Allah,” katanya.
Sebelum ini, anak kepada Sharifah Azizah, Nadia Abu Bakar mengesahkan ibunya dikejarkan ke hopital awal pagi semalam selepas mengalami sesak nafas dan muntah darah.
Bagaimanapun katanya, ibunya kembali stabil selepas ditidurkan untuk tempoh semalaman bagi memastikan tubuhnya dalam keadaan rehat.
“Organ dalamannya tiada apa apa masalah macam diuar-uarkan, semua tiada, jantung dia, apa semua, cuma sekarang ini dia perlu direhatkan sahaja, dia sudah stabil.
“Sebelum ni dia ada muntah darah tetapi ia disebabkan ‘liver complication’ (komplikasi hati), itu sahaja. Kemudian doktor memutuskan agar dia ditidurkan untuk tempoh sehari dan kami nampak ibu kembali stabil,” katanya.