
KUCHING – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan rokok dan minuman keras yang dianggarkan bernilai RM1.626 juta dalam tiga operasi berasingan yang dijalankan pada 25 Februari lalu.
Menurut Pengarah Kastam Negeri Sarawak Norizan Yahya, kejayaan tersebut membuktikan komitmen berterusan pihak Kastam Sarawak dalam mengekang kegiatan penyeludupan yang menjadi ancaman kepada hasil negara.
Menurutnya, dalam kes pertama, rampasan 120,740 batang rokok dan 6,826.27 liter minuman keras dari sebuah premis di Jalan Penrissen.
“Butiran kes kedua iaitu rampasan 2,776.25 liter minuman keras dari premis di Batu Kawa New Township,” ujar Norizan.
Selain itu, Norizan turut berkata lagi kes ketiga iaitu rampasan terbesar melibatkan 331,520 batang rokok dan 13,681.92 liter minuman keras dari premis di Taman Malihah.
“Barangan yang dirampas dikategorikan sebagai barangan larangan import di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 yang memerlukan permit khas untuk diimport ke dalam negara. Semua barangan kini disita untuk siasatan lanjut,” jelas beliau.
Menurut Norizan lagi, kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
“Sindiket ini dipercayai menggunakan premis sebagai lokasi penyimpanan, pengedaran dan penjualan barangan larangan tanpa cukai sah,” katanya lagi.





