KUANTAN – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang berjaya menggagalkan cubaan menyeludup bijih timah dianggarkan bernilai lebih RM2.8 juta menerusi serbuan di jeti haram dekat Rompin, pada 11 Mac lalu.
Pengarah JKDM Pahang, Mohd Asri Seman berkata, serbuan itu dilakukan pegawai dan anggota bahagian penguatkuasaan sekitar jam 2 pagi hasil maklumat awam dan intipan.
“Ketika serbuan dilakukan, terdapat lima suspek lelaki sedang memunggah bijih timah yang diisi dalam guni berwarna putih dari kapal dan lori.
“Pemeriksaan lanjut dijalankan membawa kepada penemuan dan rampasan 600 guni dengan setiap satu mengandungi 50 kilogram (kg) bijih timah.
“Jumlah rampasan keseluruhan (bijih timah) adalah 30,000 kg bernilai RM2,857,500,” katanya dalam sidang media di pejabat JKDM Pahang, Jalan Bank, dekat sini, hari ini.
Mohd Asri berkata, lima suspek ditahan melalui serbuan itu dan mereka sudah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Rompin pada 21 Mac lalu.
Katanya, seorang daripada suspek adalah warga tempatan manakala empat lagi warga Indonesia.
“Mereka yang berusia antara 23 hingga 53 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika didakwa di mahkamah,” jelasnya.
Beliau memaklumkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 36 (1), Seksyen 52 (1) dan Seksyen 135 (1)(a) Akta Kastam 1967.
Katanya, jumlah keseluruhan nilai rampasan termasuk bot dan lori digunakan dalam aktiviti itu dianggarkan RM4.1 juta.
“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenalpasti negara asal bijih timah berkenaan,” katanya.






